Malaysia Dateline

DBKL akan sita dua unit dewan komuniti

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyita dan mengunci dua unit dewan orang ramai pada esok, berikutan pihak pengurusan tidak bersetuju menyerahkannya kepada DBKL.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Anwar Mohd Zain berkata, dua dewan itu adalah Dewan Komuniti Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan Pusat Komuniti Aktiviti Masyarakat Lot 4915 Mukim Setapak.

“Sehingga 25 Oktober lalu, daripada 202 unit dewan orang ramai, sebanyak 180 (89.10 peratus) pengurus dewan sedia ada telah bersetuju serah, manakala baki 22 unit dewan (10.90 peratus) masih belum setuju menyerahkannya.

“DBKL telah beberapa kali mengeluarkan Notis Pentadbiran dan Notis Peringatan kepada pengurusan dewan orang ramai terbabit sejak 2018, iaitu pada 3 Disember 2018, 22 Februari 2019 (Notis Ulangan), 3 April 2019 dan 25 Jun 2019.

“Notis Penguatkuasaan juga telah dikeluarkan pada 21 Oktober tahun ini terhadap empat pengurusan dewan yang tidak setuju serah. Susulan notis tersebut, sebanyak dua pengurusan dewan sedia ada telah setuju serah kepada DBKL pada akhir bulan ini.

“Kita akan ambil tindakan secara berperingkat. Buat masa ini, kami masih meneruskan sesi rundingan (engagement) secara berterusan memandangkan permintaan daripada pelbagai pihak termasuk pengurus sedia ada untuk diberi tempoh,” katanya dalam sidang media khas di Menara DBKL 3, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, sesiapa sahaja yang dipilih untuk menguruskan dewan tersebut selepas ini, mereka perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihaknya.

“Buat sementara waktu ini, kalau tidak ada sesiapa yang menguruskan, pihak DBKL akan uruskan (dewan). Jika ada pihak yang sesuai dan orang ramai bersetuju, kita akan serahkan dewan itu kepada mereka,” katanya lagi.

17 Ogos lalu, DBKL mengumumkan akan mengambil alih sebanyak 202 unit dewan orang ramai secara sementara, sebelum diserahkan kepada pihak yang berwibawa untuk menguruskannya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, dengan pengambilalihan dewan tersebut, DBKL akan meneliti semula beberapa perkara termasuk pemeriksaan struktur bangunan.

Selain itu, Khalid berkata DBKL juga akan membaik pulih kerosakan yang dikenal pasti terdapat di dewan-dewan berkenaan, seterusnya mengiktiraf mengikut keperluan perundangan, selamat dan selesa digunakan sesiapa sahaja.

Untuk rekod, terdapat sebanyak 330 unit dewan orang ramai dan kemudahan sukan telah dikenal pasti berada di sekitar Kuala Lumpur.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 71 unit dewan orang ramai diurus sendiri oleh DBKL, 202 unit dewan orang ramai berada di atas tanah dan rizab DBKL, tanah kerajaan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, manakala 57 lagi unit dewan dalam kawasan persendirian / swasta.