DBKL ambil alih sementara dewan orang ramai untuk dibaiki, iktiraf ikut perundangan

DBKL ambil alih sementara dewan orang ramai untuk dibaiki, iktiraf ikut perundangan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil alih sebanyak 202 unit dewan orang ramai secara sementara, sebelum diserahkan kepada pihak yang berwibawa untuk menguruskannya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, dengan pengambilalihan dewan tersebut, DBKL akan meneliti semula beberapa perkara termasuk pemeriksaan struktur bangunan.

Selain itu, Khalid berkata DBKL juga akan membaik pulih kerosakan yang dikenal pasti terdapat di dewan-dewan berkenaan, seterusnya mengiktiraf mengikut keperluan perundangan, selamat dan selesa digunakan sesiapa sahaja.

“Pembinaan dewan-dewan itu pada suatu ketika dahulu adalah berdasarkan keperluan mendesak yang dipohon oleh persatuan penduduk setempat atau pun agensi kerajaan yang lain untuk menjalankan aktiviti program.

“Dalam keadaan sedemikian, terdapat pembinaan dewan yang tidak menepati perancangan dan juga kesesuaian guna tanah.

“Didapati ada juga berlaku penyalahgunaan dewan-dewan ini oleh segelintir pihak pengurusan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang memberi keutamaan kepada kumpulan tertentu menggunakan dewan.

“Selain itu, dewan-dewan tersebut turut dijadikan markas untuk aktiviti-aktiviti tidak sihat, mengambil kesempatan mengaut keuntungan sendiri dan sebagainya.

“Maka, saya berpendapat kesemua dewan yang diuruskan pihak pengurusan sedia ada sebelum ini perlu diambil alih oleh DBKL untuk diurus selia dalam tempoh sementara, seterusnya menyerahkan semula pengurusannya kepada Persatuan/Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berminat dan berwibawa mahu menguruskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Majlis Penyerahan Pengurusan Dewan dan Peralatan Bantuan Kesihatan di Bawah Program Inisiatif Wilayah Peduli, di Dewan Orang Ramai, Taman Bukit Cheras yang disempurnakan oleh beliau sendiri.

Penyerahan pengurusan dewan itu diserahkan kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), Persatuan Penduduk dan NGO di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan dan Sosio Ekonomi Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar; Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio Ekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Khalid Samad di Majlis Penyerahan Pengurusan Dewan dan Peralatan Bantuan Kesihatan di Bawah Program Inisiatif Wilayah Peduli, di Dewan Orang Ramai, Taman Bukit Cheras.

Dalam pada itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH menjelaskan, pengambilalihan itu hanya melibatkan dewan-dewan yang berada di atas tanah kerajaan dan DBKL sahaja.

Katanya, dewan yang berada di atas tanah milik persendirian tidak akan diambilalih kerana ianya adalah di luar bidang DBKL.

“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setakat ini, terdapat lebih kurang 330 unit dewan dan kemudahan sukan yang terdiri daripada kompleks sukan, dewan komuniti dan dewan orang ramai.

”Dari pemeriksaan pihak DBKL bersama Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, 202 unit dewan orang ramai yang berada di atas tanah dan rizab DBKL, tanah kerajaan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan serta kawasan Perumahan Awam/Projek Perumahan Rakyat yang diuruskan oleh Persatuan Penduduk, NGO, parti politik dan agensi kerajaan lain.

“Manakala, terdapat 57 unit dewan orang ramai adalah di atas tanah milik persendirian, di samping terdapat 71 unit dewan orang ramai yang diurus sendiri oleh DBKL,” ujarnya.