Malaysia Dateline

DBKL arah restoran tutup jam 10 malam

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan untuk mengehadkan tempoh operasi perniagaan bermula dari jam 6 pagi hingga 10 malam sahaja.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang memaklumkan, ia berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa sehingga 31 Mac.

“Semua premis perniagaan makanan (restoran) yang beroperasi 24 jam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah dihadkan waktu operasi yang melibatkan perkhidmatan pandu lalu, penghantaran dan bawa pulang sahaja.

“Pihak DBKL akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik perniagaan yang gagal mematuhi arahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DBKL turut memaklumkan, arahan tersebut selaras Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

“Ia tertakluk kepada perubahan arahan terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.