DBKL benarkan peniaga trak saji beroperasi di Jalan Raja

DBKL benarkan peniaga trak saji beroperasi di Jalan Raja

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membenarkan trak saji (food truck) beroperasi di kawasan Bazar Ramadan Jalan Raja hanya bermula malam esok hingga Selasa depan.

Keputusan itu dibuat oleh pihak DBKL berikutan peniaga trak saji melakukan protes di Jalan Raja malam tadi, kerana mereka mendakwa dihalang oleh pihak DBKL untuk berniaga di situ.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya memberi kelonggaran kepada peniaga berkenaan, namun ianya bersyarat dan deposit sebanyak RM3,000 dikenakan kepada setiap peniaga.

“Lebih 100 peniaga trak makanan akan silih berganti berniaga di kawasan itu memandangkan laluan Jalan Raja tidak panjang dan berhadapan dengan bazar Ramadan.

“Namun, kami hanya membenarkan sebahagian saja berniaga pada satu-satu masa dan pihak kami mengenakan wang cagaran sebanyak RM3,000 kepada setiap peniaga.

“Cagaran itu dikenakan bagi memastikan kawasan itu sentiasa bersih dan mengikut masa yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di Menara DBKL, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Nor Hisham berkata peniaga berkenaan tidak pernah membuat permohonan untuk berniaga di tapak itu lebih awal, cuma memberitahu secara rasmi sejak seminggu lalu.

“Saya pada awalnya berpandangan lebih baik agar operasi ini disusun semula dan ditambah baik bermula tahun hadapan kerana tahun ini kita lebih tumpukan operasi bazar.

“Namun disebabkan sudah dekat hari raya dan kawasan itu jadi tumpuan, mereka mahu beroperasi. Perkara ini boleh dibincangkan dan akhirnya saya setuju bantu mereka dengan membenarkan mereka beroperasi,” katanya.

Semalam, peniaga-peniaga kenderaan saji melakukan protes di Jalan Raja kerana mendakwa mereka dihalang oleh pihak DBKL untuk beroperasi di situ.

Video berdurasi 25 saat itu menunjukkan, beberapa penguatkuasa DBKL sedang mengawal keadaan trafik dan keselamatan awam.

Peniaga-peniaga trak saji melakukan protes di Jalan Raja semalam.