Malaysia Dateline

DBKL dibidas tidak peka realiti sekeliling

Program Pencahayaan Wilayah yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersempena Hari Wilayah disifatkan sebagai perbuatan yang sia-sia dan membazir apatah lagi tidak peka dengan realiti sekeliling.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, DBKL seharusnya cakna akan isu kebajikan rakyat di kota raya dan menyalurkan perbelanjaan terhadap program-program yang boleh memberi banyak manfaat kepada orang-orang yang memerlukan di kota raya.

“Di saat kita enak diulit mimpi di katil empuk, ada di luar sana yang sedang sibuk menggeledah sampah mencari sisa makanan untuk mengalas perut, ada yang sedang mencari kotak untuk dijadikan alas tempat tidur, dan ada juga yang sedang mengira butir butir beras di dapur.

“Semenjak pelaksanaan PKP 1.0 sehingga PKP 2.0, golongan gelandangan dilihat semakin ramai di ibu kota. Walaupun kerajaan sekarang sudah mempunyai pelan untuk golongan ini, masih ada sebahagian besar dari mereka diendahkan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan apakah rasional kawasan kota raya dicahayakan sekiranya tiada orang yang melawat kawasan bandaraya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berlangsung selama sebulan.

Bahkan katanya, sempadan negara juga telah ditutup semenjak pelaksanaan PKP pada Mac lepas.

“Sekiranya program ini dilangsungkan untuk menarik minat pelancong asing, tiada pelancong yang dibenarkan untuk melawat Malaysia pada waktu ini.

“Kebanyakan premis-premis juga ditutup dan hanya perniagaan tertentu sahaja yang dibenarkan untuk dibuka.

“Di saat orang ramai disarankan untuk duduk di rumah, apakah mesej yang ingin disampaikan oleh pihak DBKL? Tiada sebab untuk orang ramai melawat kota raya di waktu malam di dalam tempoh PKP,”ujarnya.

Sebelum ini, katanya, simpanan tetap milik DBKL yang boleh diguna pakai untuk mencipta sebuah pelan kebajikan yang menyerupai kerajaan Selangor ketika pandemik Covid-19.

“Saya saran DBKL membelikan dos vaksin bagi para petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur yang senantiasa terdedah dengan risiko jangkitan wabak Covid-19.

Justeru, tegas beliau pihak DBKL seharusnya mengutamakan perkara tersebut daripada Program Pencahayaan Wilayah yang merupakan perkhidmatan tidak perlu (non-essential service).