Malaysia Dateline

DBKL digesa jawab isu kewujudan gerai Persatuan Peniaga Desa Pandan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa supaya mengemukakan jawapan berhubung kewujudan gerai bazar ramadan Desa Pandan yang dikendalikan oleh Persatuan Peniaga Desa Pandan.

Gesaan itu dilakukan sendiri oleh peniaga berdaftar secara atas talian dengan DBKL, yang mendakwa mereka mengalami kerugian akibat ‘persaingan’ dengan gerai persatuan peniaga berkenaan.

Gerai Persatuan Peniaga Desa Pandan (kiri) yang didakwa menyebabkan kerugian kepada gerai peniaga berdaftar secara atas talian DBKL (kanan)

Peniaga lauk-pauk, Siti Nur Jannah Abdul Latif Chedzoy, berkata kewujudan peniaga persatuan peniaga itu mengundang persoalan, kerana DBKL telah memaklumkan permit berniaga pada tahun ini hanya dikeluarkan atau dikendalikan secara atas talian oleh mereka.

Katanya, tambah mengecewakan lokasi yang disediakan kepada persatuan peniaga oleh pihak DBKL adalah di atas tapak yang tidak dibenarkan berniaga (mendirikan khemah).

“Bayangkan, kami dah berniaga di sini hampir 15 hari, tetapi tidak mendapat untung.. orang ramai lebih gemar pergi ke bazar sebelah sana (persatuan peniaga). Kawan kami berniaga cuma dapat RM35 sehari, macam mana nak untung kalau macam itu.

“Jalan masuk untuk ke lokasi kami dari lokasi peniaga persatuan juga ditutup dengan meja peniaga persatuan di sana, sekali gus menyusahkan pelanggan untuk datang membeli di gerai kami,” katanya pada sidang media berhubung isu itu, di tapak bazar ramadan Desa Pandan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi peniaga ayam kunyit, Siti Rohaya Zainal, meminta pihak DBKL supaya membayar semula ganti rugi akibat kekurangan pelanggan di tapak bazar berkenaan.

“Kami meniaga untuk mencari sumber pendapatan.. pagi-pagi lagi dah keluar rumah pergi pasar beli bahan untuk memasak.. ini lagi 2 minggu nak raya, tapi keuntungan berniaga belum nampak lagi.

“Sebelum ini kami patuh kepada apa sahaja arahan daripada DBKL.. nak suruh daftar atas talian, kami daftar.. tapi akhirnya kami yang kena tanggung semua kerugian,” katanya.