Malaysia Dateline

DBKL digesa pastikan dewan orang ramai di KL tidak diurus pihak swasta untuk kaut untung

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa untuk memastikan pengurusan dewan orang ramai di Kuala Lumpur tidak diserahkan kepada syarikat swasta atau pihak ketiga.

Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam kenyataan mereka pagi ini menegaskan, ia harus diurus secara telus oleh DBKL demi manfaat orang ramai dan bukan diurus oleh pihak swasta yang bertujuan mengaut keuntungan.

“Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah ‘memutihkan’ dewan orang ramai daripada kawalan parti politik BN kerana ada di antara mereka menjadikan dewan tersebut sebagai hartanah persendirian dengan melakukan aktiviti perniagaan yang menguntungkan mereka.

“Dewan orang ramai yang dibina dengan menggunakan dana awam haruslah dibuka untuk penggunaan komuniti setempat.

“Dahulu kerajaan PH telah mengambil-alih kebanyakan dewan orang ramai ini dan menegah penswastaan dilakukan,” tegas mereka.

Kenyataan itu dibuat bersama antara Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad; Segambut, Hannah Yeoh; Batu, P. Prabakaran; Cheras, Tan Kok Wai; Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Seputeh, Teresa Kok; dan Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew

Sementara itu, Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyeru DBKL untuk meneruskan dasar yang tidak menswastakan dewan orang ramai.

Mereka juga menyeru DBKL untuk membenarkan semua pihak termasuk parti pembangkang untuk menggunakan fasiliti dewan orang ramai DBKL.