DBKL pandang serius peserta demo rosakkan tanaman lanskap
Antara pokok-pokok hiasan yang musnah dipijak oleh peserta perhimpunan anjuran Pas dan Umno.

DBKL pandang serius peserta demo rosakkan tanaman lanskap

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius tindakan para peserta perhimpunan membantah ICERD di Kuala Lumpur Sabtu lepas yang merosakkan banyak tanaman perhiasan yang mereka tanam.

Menurut sumber DBKL, mereka mempunyai peruntukan untuk mendakwa pihak yang terlibat merosakkan tanaman mereka dengan membawa hukuman denda kepada pesalah.

“Jabatan Pembangunan Lanskap dan Rekreasi (JPLR) DBKL memandang serius isu ini kerana ianya melibatkan kos dan imej fasiliti untuk awam,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Semalam, katanya, isu ini telah dibangkitkan dalam mesyuarat petang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Buat sementara waktu DBKL akan membaiki keadaan tapak melalui JPLR,” katanya lagi.

Banyak pokok-pokok hiasan yang ditanam oleh DBKL di pembahagi jalan sekitar Kuala Lumpur musnah ekoran tindakan peserta perhimpunan yang dianjurkan oleh Pas dan Umno itu memijaknya.

Banyak gambar kerosakan tanaman DBKL ini telah dimuatnaik dalam laman-laman sosial termasuk facebook.

Namun begitu, penyokong perhimpunan ini memandang lekeh perkara ini kerana kejayaan perhimpunan adalah lebih besar.