Malaysia Dateline

DBKL pastikan saluran air dibersihkan, dibaiki elak banjir kilat

Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memastikan semua saluran air dibersihkan dan diperbaiki agar dapat  berfungsi pada tahap maksima bagi mengelak kejadian banjir kilat di ibu kota, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

Beliau berkata segala usaha telah dilakukan bagi memastikan saluran air dapat berfungsi dengan baik terutamanya ketika musim hujan yang melanda negara ketika ini.

“Namun jika hujan terlalu lebat dan melebihi daripada tahap sepatutnya. Kami akan kaji bagi menambah baik reka bentuk saluran sedia ada bagi memastikan sistem perparitan mampu menerima jumlah hujan,” katanya pada media di sini hari ini.

Terdahulu, Khalid pada majlis penyampaian Sijil Peserta Program Pementoran Keusahawanan Start Up dan Scale Up Wilayah Persekutuan berkata program pementoran keusahawanan tersebut disertai 90 peserta dari Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak dilaksanakan sejak Mei hingga November lepas.

Beliau difahamkan 93 peratus daripada 50 peserta kategori start up memperoleh prestasi jualan melebihi RM3,000 sebulan, manakala bagi kategori scale up pula, 89 peratus daripada 40 peserta telah berjaya meningkatkan prestasi jualan melebihi RM5,000 sebulan.

Khalid berkata 90 peratus peserta program tersebut merupakan golongan belia dan bersesuaian dengan perubahan ekonomi dan teknologi masa kini.