Malaysia Dateline

DBKL perlu bayar RM150 juta bukan satu khayalan, kata Khalid

 

Dakwaan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membayar kos sebanyak RM150 juta jika projek pembangunan Taman Rimba Kiara ditarik semula bukanlah satu khayalan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata dakwaan bahawa ianya adalah khayalan sama sekali tidak tepat.

Katanya, kos yang disebutkan itu adalah kos yang telah difailkan oleh pihak pemaju ke mahkamah dalam kesnya sebelum ini.

“Bagaimanapun saya faham kos yang sebenar hanya akan ditentukan oleh mahkamah.

“Untuk makluman, kos RM150 juta yang saya sebutkan itu tidak termasuk kos pembinaan rumah untuk 100 keluarga rumah panjang yang telah dijanjikan rumah oleh DBKL lebih 35 tahun lalu.

“Jadi, kos RM150 juta yang dijangkakan perlu dibayar sebagai ganti rugi (jika projek ditarik balik) bukan khayalan semata-mata,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Khalid, mereka yang menganggap kos berkenaan sebagai khayalan dialukan untuk memberi surat jaminan untuk membayar kos tersebut.

“Mereka boleh kemukakan satu surat jaminan bahawa mereka akan membayar kos khayalan ini sekiranya DBKL diarahkan berbuat demikian atas sebab penarikan balik arahan pembangunan (DO) itu,” katanya.

Beliau turut berkata, beliau memahami pendirian yang diambil oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam membela penduduk di Taman Tun Dr Ismail dalam isu pembangunan Taman Rimba Kiara.

“Sebagai Ahli Parlimen, Hannah hanya menjalankan tugasnya untuk menyampaikan pandangan penduduk di kawasan yang beliau wakili kepada saya.

“Ianya adalah janji yang beliau buat semasa kempen pilihan raya ke 14 lalu,” ujarnya.