DBKL sedia insentif untuk penyewa yang tiada tunggakan sewa rumah

DBKL sedia insentif untuk penyewa yang tiada tunggakan sewa rumah

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberi insentif cenderahati dan diskaun sewa kepada penyewa Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, Insentif tersebut dikhaskan untuk penyewa yang telah menjelaskan sewa rumah bulanan secara konsisten tanpa tunggakan.

Katanya, ia untuk menghargai penyewa PA dan PPR yang mempunyai rekod baik pada tahun 2019.

“DBKL telah menyediakan dua kategori insentif kepada penyewa yang layak iaitu Cenderahati dan Diskaun Sewa Sebulan.

“Cenderahati akan diberikan kepada penyewa yang tidak mempunyai tunggakan sewa secara konsisten setiap bulan bermula Mei 2019 hingga Disember 2019 yang akan diberikan bermula Januari 2019.

“Diskaun sewa sebulan kepada penyewa yang membuat bayaran pendahuluan untuk caj sewa setahun yang dijelaskan dalam tempoh tiga bulan sama ada bermula Mei 2019 hingga April 2020; Jun 2019 hingga Mei 2020; atau Julai 2019 hingga Jun 2020,” katanya.

Beliau menerusi satu kenyataan berkata, pemberian insentif ini akan memberi galakan kepada penyewa untuk terus menjelaskan bayaran sewa bulanan secara konsisten setiap bulan tanpa tunggakan.

Beliau juga berharap penyewa mengambil peluang ini untuk mendapatkan diskaun sewa sebulan tersebut.

“Pemberian insentif ini tertakluk kepada bayaran sewa bulanan dibayar sendiri oleh penyewa dan bukannya dibayar oleh pihak ketiga (pihak pemaju, syarikat baitulmal) serta keseluruhan tunggakan sewa dijelaskan terlebih dahulu (sekiranya ada),” katanya.

Sebarang pertanyaan, penghuni boleh menghubungi di talian 03-26176151 / 6148 / 6154 / 6153 / 6141 atau boleh hadir ke Kaunter Perkhidmatan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, tingkat bawah, di Menara DBKL 3