Malaysia Dateline

DBKL sekat “Better beer festival ” kerana ancaman IS?

Tindakan DBKL menyekat “Better Beer Festival” adalah untuk mengelakkan serangan dari militan IS, Daesh dan lain-lain.

Itulah sekurang-kurangnya yang dinyatakan oleh kerabat Barisan Nasional (BN), MCA dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut Datuk Seri Ti Lian Ker, DAP patut berhentikan dari mempolitikkan isu ini dan mengambil sikap lebih bertanggungjawab.

“Mereka patut mengakui dengan jujur bahawa ada ancaman IS, Daesh dan lain-lain.

“Kita tidak boleh meletakkan orang awam dalam bahaya,” kata jurucakap yang juga Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA itu.

Katanya, MCA lega DBKL tidak bertindak berdasarkan tekanan dari PAS.

“Dasar sederhana BN tidak berubah dan kepentingan keselamatan menjadi keutamaan,” kata Ter Lian Ker.

Menurut beliau, ancaman keselamatan ke atas nyawa dan harta benda bukan Islam adalah jelas dan tidak boleh diambil mudah.

Katanya, Carlsberg brewery telah meningkatkan keselamatan ke atas kakitangannya ekoran laporan pembuat arak itu menjadi sasaran.

“Militan yang ditahan mengaku kepada Bukit Aman, selain merancang untuk menyerang disco dan pub, mereka juga sasarkan kepada Carlsberg brewery,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ter Lian Ker membuat kenyataan membantah keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ yang dijangka diadakan di pada 6 dan 7 Oktober ini.

Beliau berkata, DBKL harus konsisten dan telus dalam keputusannya serta tidak tunduk kepada desakan politik.

“DBKL tidak boleh menolak sewenang-wenangnya permohonan penganjur atau memberi amaran bertindak tanpa memberikan sebarang alasan.

“Sebab mesti diberikan dan notis serta masa yang cukup haru diberikan kepada orang awam jika terdapat perubahan peraturan atau dasar dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada pihak penganjur pada 28 Ogos untuk menjalankan aktiviti tersebut di Solaris Damansara dari pukul 2 petang hingga 11 malam.