DBKL tambah 119 petak bazar ramadan Jalan Raja

DBKL tambah 119 petak bazar ramadan Jalan Raja

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan 119 lagi petak niaga bazar Ramadan di Jalan Raja di ibu negara sebagai tambahan kepada 225 petak yang diperuntukkan sebelum ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata ini menjadikan keseluruhan 344 petak, lebih banyak berbanding 228 yang didaftarkan di lokasi bazar Ramadan di Lorong Tuanku Abdul Rahman tahun lepas. Operasi bazar Ramadan itu dipindahkan ke Jalan Raja tahun ini.

“Proses cabutan undi fasa pertama untuk 225 petak telah selesai pada Selasa lalu dan fasa kedua untuk 119 petak tambahan pula akan dibuat pada 16 April ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur  pada Khamis.

Katanya lagi, 55 lokasi bazar Ramadan telah dikenal pasti dengan 4,272 petak niaga telah berdaftar dengan DBKL setakat hari ini.

“Lima daripada jumlah lokasi Bazar Ramadan itu akan diuruskan sepenuhnya oleh DBKL, manakala 50 lagi akan diserahkan pengurusannya kepada persatuan peniaga dan penjaja dari segi penyusunan tapak dan kebersihan.

“Maknanya persatuan (peniaga dan penjaja) yang menguruskan tapak bazar Ramadan berkenaan boleh mengenakan caj pengurusan kepada peniaga tetapi dengan harga munasabah,” katanya.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL Datuk Ibrahim Yusoff berkata pihaknya telah memperuntukkan lebih RM1.7 juta untuk kemudahan infrastruktur di bazar Ramadan Jalan Raja.

“Ia bagi memastikan kawasan itu terurus dan memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

Terdahulu, Khalid turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mencipta logo KLWBC 2020, Sin Boon Seang, 24, yang merupakan pereka grafik dari Pulau Pinang.

Sebanyak 208 penyertaan diterima sepanjang pertandingan yang bermula 25 Feb hingga 20 Mac lalu.