DBKL tidak pernah beri lesen perniagaan kepada warga asing, kata Khalid

DBKL tidak pernah beri lesen perniagaan kepada warga asing, kata Khalid

Menteri Wilayah, Khalid Samad memaklumkan, tiada mana-mana warga asing yang mendapat lesen untuk menjalankan perniagaan di sekitar ibu negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya tetap mengekalkan polisinya tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada mana-mana warga asing.

“Bila dikatakan ada kumpulan Aceh yang dah berkuasa atau apa sekali pun, kalau ianya benar, maka kemungkinan besar mereka ini sedang menggunakan lesen orang tempatan dan menyamar sebagai pekerja.

“Memang polisi kami tidak memberikan lesen perniagaan kepada mana-warga asing.

“Namun, kita ada memberi sedikit kelonggaran kepada warga Rohingya untuk bekerja tetapi bukannya memiliki perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Bazar Melayu Moden, di Jalan Masjid India hari ini sempena lawatannya ke lokasi kebakaran.

Awal pagi semalam , lebih 30 gerai di hadapan kompleks Wisma Yakin di Jalan Masjid India terbakar.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Penguasa Bomba L Logeswaran dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.35 pagi tadi.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata pihaknya sering mengadakan operasi bersepadu bersama agensi lain seperti Jabatan Imigresen.

“Hasil operasi itu, memang tiada mana-mana warga asing yang mendapat lesen untuk menjalankan perniagaan di sekitar Kuala Lumpur,” jelasnya lagi.

Hari ini, BH mendedahkan lebih 100,000 warga Aceh di negara ini dipercayai menguasai sektor peruncitan dan perkhidmatan dengan sebahagian besarnya bertumpu di sekitar Lembah Klang.

Mereka dipercayai dilindungi rakyat tempatan yang membenarkan nama digunakan dalam lesen atau mengaku pemilik kedai apabila ada operasi dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).