DBKL tolak cadangan perhimpunan #TangkapMO1 di Dataran Merdeka

DBKL tolak cadangan perhimpunan  #TangkapMO1 di Dataran Merdeka

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak akan membenarkan Dataran Merdeka digunakan untuk demontrasi #TangkapMalaysianOfficial1 pada 27 Ogos ini dan polis tidak boleh memproses notis yang dikemukakan oleh pihak penganjur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, jika penganjur meneruskan perhimpunan itu ia dianggap melanggar peruntukan undang-undang kerana berhimpun tanpa permit.

Dilaporkan polis telah menerima notis daripada pihak penganjur untuk mengadakan perhimpunan itu pada Rabu lalu, bagaimanapun beliau dipetik berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah memaklumkan kepada penganjur semasa mesyuarat, bahawa Dataran Merdeka akan digunakan untuk sambutan raptai Hari Kebangsaan pada 27 Ogos depan.

“Jika mereka meneruskan perhimpunan, ia dianggap satu kesalahan.

“Saya menasihati mereka supaya tidak mengadakan perhimpunan itu kerana ia akan mengganggu raptai,” katanya dalam sidang media diadakan semalam.

Tambah beliau lagi, polis akan bertindak sekiranya penganjur meneruskan dengan perhimpunan tersebut.

Dilaporkan bahawa perhimpunan itu akan diadakan pada dua kawasan iaitu – Pusat membeli belah Sogo dan Masjid Negara dengan peserta merancang untuk berarak dari sana ke Dataran Merdeka pada jam 2 petang.

Perhimpunan ini bertujuan untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa menangkap “Malaysia Official One” yang dinamakan Jabatan Kehakiman  (DoJ)Amerika Syarikat dalam tuntutan saman  sivil berhubung dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Amin Nordin Abdul Aziz berkata DBKL menyediakan kawasan lain untuk berhimpun di Padang Merbok untuk perhimpunan itu.

“Seperti tahun sebelumnya, apabila Bersih memohon kebenaran, kami telah benarkan mereka menggunakan Padang Merbok,”katanya dalam mesej teks yang dihantar kepada The Star online seperti dipetik hari ini.

Ditanya sama Dataran Merdeka telah diberikan kebenaran untuk digunakan oleh pihak lain pada 27 Ogos, Amin Nordin berkata, pihak penganjur perlu bertanyakan kepada bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Sukan, DBKL.

“Dataran (Merdeka) tidak boleh, Padang Merbok boleh,” katanya.

Sepuluh pertubuhan bukan kerajaan, kebanyakannya belia, telah menunjukkan sokongan mereka terhadap perhimpunan itu dengan PKR, DAP dan Pemuda Amanah Pemuda berikrar untuk turun berhimpun pada 27 Ogos ini, yang  dianjurkan oleh beberapa pertubuhan belia dan disokong Bersih 2.0.