Malaysia Dateline

DBKL umum pengecualian 3 bulan bayaran untuk penjaja Bazaria Wangsa Maju

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberikan sewa tapak secara percuma selama tiga bulan kepada peniaga Bazar Larut Malam Danau Kota yang bersedia untuk berpindah ke lokasi baharu iaitu Bazaria Wangsa Maju.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pengecualian sewa tersebut akan diberikan, namun penjaja masih perlu membuat bayaran untuk mendapatkan lesen sah perniagaan dari DBKL.

Beliau mengumumkan perkara berkenaan sebagai menghargai kerjasama para penjaja dan sempena menyambut Tahun Baru yang berbaki kurang dari 15 hari.

“Kita nak bantu penjaja ini dan bagi mereka yang tidak ada lesen, mereka kena ambil. Kita tidak mahu mengganggu atau menyekat mereka berniaga. Mereka kena ambil lesen dan kita akan benarkan mereka untuk berniaga.

“Semua yang dimasukkan (dipindah) ke tapak baharu adalah mereka yang telah dibanci dan merupakan peniaga dari tapak lama, sebahagian ada lesen dan sebahagian lagi tiada. Mereka juga ada yang sewa tapak selain dari DBKL ,” katanya dalam sidang media di Menara DBKL, hari ini.

Dr Tan Yee Kew

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew; dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Dalam pada itu, Khalid berharap agar usaha untuk memberikan suasana terbaik bagi peniaga terus berjalan lancar dan menetapkan tempoh sehingga 31 December untuk keseluruhan peniaga berpindah.

“31 December, kita nak pastikan segalanya ‘clear’. Kita dah beri notis masa dan ruang yang lebih dari mencukupi. Tak ada sebab kenapa Januari, masih ada lagi penjaja tepi jalan apabila tempat baru telah siap sepenuhnya

“Saya dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, pagi tadi terdapat sebahagian dari mereka telah berbincang untuk menyelesaikan isu ini. Saya harap bila selesai, betul-betul selesai lah,” katanya.

Sementara itu, Dr Tan memaklumkan, reaksi positif diterimanya pagi ini yang menunjukkan hampir keseluruhan peniaga bazar menunjukkan kesediaan mereka berpindah ke tapak baharu.

Malah, beliau turut dimaklumkan penjaja-penjaja akan membuat satu perhimpunan untuk menunjukkan kesediaan dan kesungguhan mereka dengan penempatan semula tapak yang dilakukan oleh DBKL.

Untuk rekod, daripada 500 penjaja yang telah dibanci, sehingga 12 Disember 2019, sejumlah 408 penjaja telah pun mengambil surat tawaran dan seramai 354 penjaja telah pun menjelaskan pembayaran lesen dan penyewaan.

Berdasarkan pemantauan yang dilakukan pada 15 Disember 2019, seramai 242 penjaja telah pun memulakan perniagaan di tapak sementara yang baru manakala sebahagian penjaja sedang menyiapkan gerai dengan penempatan peralatan dan pendawaian lampu/elektrik sedang dilakukan.

Dijangka menjelang hujung bulan Disember 2019, tapak penjaja baru Bazaria Wangsa Maju akan dipenuhi dengan penjaja dan para pengunjung.