Malaysia Dateline

DBKL usah buka taman riadah elak risiko jangkitan Covid-19

Asmaaliff Abdul Adam

Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mempertimbangkan semula keputusan membuka taman-taman rekreasi di bawah seliaan pihaknya bermula esok.

Ketuanya, Asmaaliff Abdul Adam berkata, DBKL tidak harus terburu-buru berbuat demikian sebaliknya mengambil kira pertimbangan kesihatan dan keselamatan awam memandangkan ancaman wabak Covid-19 masih belum reda.

“Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menunjukkan bahawa peningkatan kes positif Covid-19 yang kembali kepada tiga angka tidak wajar diambil ringan.

“Pembukaan taman rekreasi awam ini bukan sahaja bukan satu keperluan utama buat masa ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dilapor berkata, pihaknya bakal membuka taman rekreasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walau bagaimanapun, Asmaaliff berpendapat langkah tersebut akan meningkatkan risiko penularan musuh yang tidak kelihatan iaitu Covid-19 dalam kalangan warga ibu kota.

“Apatah lagi dalam keadaan majoriti kawasan di dalam Wilayah Persekutuan masih di bawah zon merah,” ujarnya.

Statistik KKM kelmarin merekodkan tiga kawasan di bawah Wilayah Persekutuan berstatus zon merah (41 kes dan ke atas) iaitu Lembah Pantai (772 kes), Kepong (203) dan Titiwangsa 187 kes.

Mengulas lanjut, Asmaaliff keputusan kerajaan haruslah mengambil kira pertimbangan maslahah dan mafsadah rakyat khususnya masyarakat di ibu negara pada ketika pasukan barisan hadapan negara masih bertungkus-lumus berjuang menentang Covid-19.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok membenarkan aktiviti sukan yang tidak melebihi 10 orang.

Antaranya, badminton, tenis dan joging termasuk berbasikal dengan syarat orang ramai mengamalkan penjarakkan sosial.

Walau bagaimanapun, rata-rata orang ramai mempersoalkan kebenaran tersebut dan menggesa kerajaan melaksanakan PKPB secara berperingkat sekurang-kurangnya selepas tempoh PKP fasa empat berakhir pada 12 Mei ini selain mengambil kira status zon jangkitan.