DBP, ABIM bantah tukar Hari Sukan Negara kepada Malaysia Sports Challenge 2019

DBP, ABIM bantah tukar Hari Sukan Negara kepada Malaysia Sports Challenge 2019

Keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menukar nama program Hari Sukan Negara 2019 kepada Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19) mengundang bantahan banyak pihak.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kenyataannya hari ini menegaskan semua kementerian serta agensi kerajaan perlu mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai identiti negara.

“Bahasa kebangsaan juga adalah wahana perhubungan dan perpaduan dalam semua program peringkat jabatan, kebangsaan dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Menurut DBP, sesuatu program dan kegiatan bertaraf antarabangsa harus dibuat secara dwibahasa iaitu dengan mendahulukan bahasa kebangsaan dan diikuti dengan terjemahan.

“DBP tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan menukar nama Hari Sukan Negara 2019 seperti yang diumumkan Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong.

“Perkara 152 Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hendak digunakan sebagai bahasa rasmi negara.

“Bahasa rasmi bermaksud ia digunakan dalam semua maksud rasmi meliputi wacana lisan dan tulisan pada peringkat Persekutuan, negeri, badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Penjenamaan semula program itu menunjukkan keputusan kementerian tidak selari dengan Perlembagaan untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam program rasmi kerajaan,” kata DBP dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan pihak kementerian perlu menukar semula nama program tersebut ke dalam bahasa kebangsaan seperti ‘Cabaran Sukan Malaysia’; ‘Cabaran Malaysia Cergas’; ‘Bulan Sukan Malaysia’ dan ‘Bulan Sukan Negara’.

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz juga menggesa agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi peranan dan kuasa yang lebih luas dan berkesan dalam menangani isu perlecehan bahasa Melayu yang semakin membimbangkan kini.

“Jika program rasmi kerajaan sendiri tidak memartabatkan bahasa kebangsaan, bagaimana mungkin kita menerapkan kepentingan bahasa ini kepada agensi swasta serta masyarakat terbanyak?

“Tanpa menafikan kepentingan menguasai bahasa lain, ABIM menegaskan bahawa mentaliti penggunaan istilah bahasa Inggeris pada nama sesuatu program rasmi kerajaan untuk dilihat ‘maju’ atau ‘komersial’ merupakan gejala pemikiran terpasung serta minda yang terjajah” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Kiong berkata, penggunaan nama ‘Malaysia Sports Challenge 2019 bukanlah tindakan merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, nama tersebut bertujuan memperluaskan capaian program itu yang merupakan inisiatif terbaharu KBS dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Pemimpin DAP itu dalam reaksinya berkata, penggunaan MySC’19 tidak merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Sebaliknya, Chee Kiong mendakwa penggunaan nama dalam bahasa Inggeris itu mampu meningkatkan lagi prestij program berkenaan.