Malaysia Dateline

Debat: Hujah Najib yang melucukan…

Malam tadi saya hadir menyaksikan Debat Perdana di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dengan Datuk Seri Najib Razak (DSNR) di Dewan Tunku Abdul Rahman, MATIC, Kuala Lumpur bagi menyaksikan kedua-dua tokoh ini membentangkan hujah masing-masing dalam isu yang sedang diperkatakan ketika ini.

Mungkin pandangan saya mempunyai bias sebab saya hadir sebagai pasukan penyokong DSAI tetapi saya berpendapat bahawa DSAI telah berdebat dengan lebih baik dan berjaya mematahkan hujah pihak lawan dengan cekap.

Sementara DSNR berusaha menyakinkan orang ramai bahawa perlu menyelamatkan syarikat Sapura Energy kerana dilihat sebagai syarikat strategik dan melibatkan kepentingan banyak pihak, DSAI pula menegaskan perlunya akuantabiliti dan kebertanggungjawaban pihak pengurusan korporat terhadap kegagalan mereka dan kerajaan tidak seharusnya “bailout” mana-mana syarikat dengan sewenang-wenangnya.

Apabila DSNR menggunakan analogi “memperbesarkan kek ekonomi” sebagai mantra pengurusan ekonominya, DSAI dengan petah menjawab “jangan makan kek seorang” dan mempersoalkan siapa yang dapat bahagian kek yang lebih besar. Bagi saya, hujahan balas ini merupakan “highlight” dalam debat malam ini.

DSNR masih mempertahankan mantra “Cash is King” dan cuba putar belit kononya “king” yang dimaksudkan ialah rakyat…maksudnya “cash is rakyat”? Saya tak faham logik tersebut.

Debat: Hujah Najib yang melucukan...
Anthony Loke Siew Fook hadir menyaksikan debat bersejarah Anwar dan Najib

DSAI pula dengan berani menyatakan bahawa bahawa “cash is king” ini akan menjadi masyarakat kita mempunyai “dependency syndrome” di mana golongan miskin akan sentiasa bergantung kepada golongan elit politik untuk bantuan dan terasa terhutang budi kepada mereka tanpa satu pendekatan jangka panjang untuk memerdekakan mereka daripada masalah kemiskinan.

DSNR juga cuba menonjolkan dirinya sebagai pemimpin berintegriti yang melaksanakan tender terbuka dan memberi contoh kejayaan MRT 1. Suka saya ingatkan beliau bahawa projek ECRL yang memakan kos lebih RM50 billion tidak pernah melalui tender. Dan ECRL juga bukan satu pelaburan daripada luar tetapi Kerajaan Malaysia juga yang perlu bayar bil tersebut dalam jangka masa panjang.

Yang paling lucu malam tadi ialah apabila DSNR menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan agenda DSAI untuk melawan rasuah dan mana-mana kes penyalahgunaan kuasa mesti diambil tindakan! Bukankah subjek rasuah terbesar dan penyalahgunaan kuasa yang luar biasa merujuk kepada dirinya sendiri? Maksudnya Najib bersetuju dengan Anwar bahawa Najib perlu diambil tindakan?

Apabila DSNR mengaju soalan kepada DSAI berkenaan pendirian beliau terhadap isu penutupan siasatan terhadap skandal Forex yang melibatkan kerugian RM30 billion 30 tahun yang lalu, DSAI dengan tegas mencabar balik beliau supaya meminta Perdana Menteri sekarang untuk membuka semula kes tersebut dan menyiasat semua kes lampau yang melibatkan golongan elit politik. Saya rasa ramai yang duduk di sebelah blok pasukan Najib menggigil.

Kesimpulannya, saya rasa DSAI telah menampilkan kebolehan dan keyakinan di pentas debat. Budaya debat ini memang merupakan satu usaha yang baik dan harus digalakkan di kalangan pemimpin politik. Saya berharap plafform debat langsung seperti malam ini akan diperbanyakkan terutama semasa kempen PRU 15 yang akan datang. Kita perlu berusaha menyuburkan proses demokrasi di negara kita dan menggalakkan pemikiran kritis di kalangan rakyat Malaysia!