Debat Najib-Kit Siang: Isu kuota matrikulasi berpotensi saingi kleptokrasi

Debat Najib-Kit Siang: Isu kuota matrikulasi berpotensi saingi kleptokrasi

Muhammad Faiz Na’aman

Polemik kuota matrikulasi yang menjadi tumpuan masyarakat pada masa kini, dilihat berpotensi menyaingi topik perdebatan ‘Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita menjadi negara berintegriti’ antara  bekas perdana menteri  Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, pada ketika ini masyarakat lebih memikirkan soal ke mana hala tuju negara, berbanding isu yang membelenggu bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, perdebatan itu melibatkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan masyarakat pun tahu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang kini mempertahankan kuota matrikulasi sedang berhadapan dengan kecaman daripada beberapa wakil DAP.

“Jadi saya berpendapat, suasana tidak aman juga mungkin boleh terjadi berikutan polemik semasa yang sedang panas antara Dr Maszlee dan beberapa wakil daripada DAP.

“Saya menyokong debat ini, tetapi penerimaan masyarakat terhadap sentimen semasa, iaitu isu kuota matrikulasi dibimbangi akan menjadi ‘bahan’ oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memanaskan lagi isu itu, berbanding tajuk sebenar perdebatan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini.

Dr Hamzah Jaafar

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Dr Hamzah Jaafar berpendapat, debat seperti itu tidak perlu diadakan kerana kini sudah terlalu jelas, ahli parlimen Pekan itu terlibat dengan kleptokrasi.

“Bila tengok tajuk itu sahaja, saya tidak bersetuju kerana tajuk itu sudah melepasi satu paras yang cukup jelas bahawa Najib terlibat dengan kleptokrasi.

“Debat ini satu medan untuk kita jelaskan sesuatu, tetapi kalau dah jelas dan ternyata Najib terlibat dengan kleptokrasi, dan ada lebih kurang 40 dakwaan, jadi debat itu tidak diadakan,” katanya.

Manakala, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula berkata, perdebatan adalah satu amalam demokrasi yang baik, namun perlu berwaspada agar ia tidak menjadi medan untuk menghukum atau menghakimi selain hujah yang dibincangkan.

“Maksud saya di sini adalah, bukan untuk menghakimi atau menghukum personaliti atau keperibadian seseorang menerusi perdebatan itu.

“Saya berpendapat, sekiranya kita mengkhususkan atau menghadkan perbincangan kepada topik kleptokrasi sahaja, ia bukan satu perkara yang tidak boleh diterima kerana kebiasaanya, apabila kita mendengar tentang debat mereka memang menumpukan kepada satu topik yang khusus.

Fahmi Fadzil

“Dalam perbincanga itu, kita juga perlu berhati-hati agar tidak melanggar peraturan sekiranya menyentuh perkara yang melibatkan mahkamah,” katanya yang mewakili pandangan peribadi, dan bukannya parti.

Debat antara Najib dan Lim Kit Siang dijangka diadakan selepas Hari Raya ini, bagaimanapun tarikh, masa dan tempat perdebatan akan dibincangkan dalam tempoh terdekat.

Bekas perdana menteri dalam satu kiriman awal di Facebook menerima tajuk debat yang diberikan penasihat DAP betajuk Kleptokrasi namun terbuka kepada topik lain.

“Saya terima tajuk disarankannya tetapi seadilnya dan semoleknya kita perlu bincangkan topik-topik lain semasa debat ini.

“Pegawai saya akan berhubung dengan pegawai Kit Siang untuk menganjurkan debat ini,” kata Najib dalam entri di facebooknya semalam.

Najib juga mahukan perdebatan mereka disiarkan secara langsung menerusi setesen tv kerajaan..