Malaysia Dateline

Debat perdana calon-calon PRK Cameron Highlands tiada sambutan

Debat Perdana melibatkan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang julung-julung kali diadakan dalam sejarah pilihan raya negara malam tadi tidak mendapat sambutan daripada penduduk tempatan seperti yang diharapkan.

Walaupun kebanyakan tempat duduk kosong, ketiga-tiga calon tetap meneruskan hujah masing-masing dengan calon bebas Wong Seng Yee menampilkan jiwa petani dengan bertopi dan berkasut but petani.

Selain Wong, debat bertajuk ‘Apa perubahan yang diperlukan Cameron Highlands’ disertai calon Pakatan Harapan (PH) M.Manogaran dan seorang lagi calon Bebas iaitu Salehuddin Ab Talib, manakala calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Nor tidak menyertainya.

Program itu adalah anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dengan moderatornya felo kanan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Faisal S. Hazis.

Program itu dilihat mendapat sambutan yang dingin, mungkin kerana pada masa yang sama ada dua lagi program serupa di kawasan berhampiran, yakni Ceramah Perdana PH yang antara lain disertai Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Pidato Pemuda UMNO dan PAS yang menampilkan Ketua Pemuda UMNo Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Mengenai apa yang kaum Orang Asli boleh harapkan daripada mereka, Manogaran dalam hujahnya antara lain menarik perhatian bahawa beliau sedia mengambil tindakan saman terhadap kerajaan negeri Pahang jika mengambil tanah Orang Asli untuk dimajukan dengan projek lain.

Wong pula mahu merizabkan tanah Orang Asli, manakala Sallehudin berhasrat untuk memberi tumpuan kepada aspek pendidikan masyarakat itu, memandangkan pada masa ini kadar keciciran murid-murid dari kalangan anak-anak mereka agak tinggi.- BERNAMA