Debat Sunni-Syiah di Universiti Malaya

Oleh BORHAN AHMAD

Universiti adalah tempat tumbuh dan berkembangnya sesuatu idea. Dari sesuatu idea itu pula akan mencetuskan sesuatu tindakan. Idealogi pula bilamana sesuatu idea menjadi sistem kepercayaan dan mempengaruhi pemikiran. Maka tidak hairanlah, kalau hendak cari konflik pemikiran, datanglah ke universiti.

Namun jika universiti mengambil pendekatan memerangi sesuatu idea, akan timbul serangan idea balik. Di sinilah berlakunya proses anti tesis dan sintesis. Universiti bukan sekolah. Universiti bukan kilang mengeluarkan teknokrat atau jurutera. Universiti adalah satu tesis. Universiti adalah satu dialektika.

Kemuncak konflik Sunni-Syiah di UM ialah Dialog Sunni-Syiah anjuran Persatuan Akademi UM. Panelis ‘pro-Syiah’, yang saya ingat hanya Prof Dr. Mahfodz (pernah menjadi Ketua Dewan Ulama Pas Pusat), yang lain saya lupa dan yang ‘pro-Sunni’, Dr Aziz Hanafi, Dr Johari Mat dan seorang lagi yang saya lupa.

Kami yang mendapat tarbiyyah PMIUM diminta hadir untuk sokong para Ustaz-ustaz yang bagi pengisian semasa dalam tarbiyyah kami. Sebaliknya, yang wakili ‘pro Syiah’ semua adalah pensyarah-pensyarah kami di Jabatan Pengajian Islam.

Dialog itu diadakan di Pusat Bahasa. Pengerusi dialog itu Presiden Kelab Kakitangan Akademik UM, Mahathir Khir. Turut hadir pada masa itu, Ustaz Nakhaei Ahmad dan Subky Abdul Latif. Saya dan kawan-kawan lain pergi salami mereka. Hormat pimpinan.

Dialog berjalan agak panas tapi terkawal. Ustaz Bakar Hamzah yang turut hadir sebagai pemerhati bangun mempersoalkan mengapa Dr Lutfi Ibrahim tidak jadi panelis sedangkan Dr Lutfi Ibrahim adalah pensyarah UM yang jadi ‘ketua Syiah’. Sepatutnya Dr Lutfi Ibrahim yang berada di meja panelis. Ustaz Bakar Hamzah kutuk Dr Lutfi Ibrahim sebagai penakut. Masa itu Dr Lufti Ibrahim yang duduk di bahagian pemerhati diam saja.

Saya memang mengharap Dr Lutfi Ibrahim jadi panelis. Saya hendak dengar juga macamana sarjana lain berhujah dengannya. Saya hendak tengok respon Dr Lutfi bila sarjana lain kritik beliau. Di kelasnya, Dr Lutfi Ibrahim sukar menerima kritikan. Beliau akan lawan habis.

Ustaz Abu Bakar Hamzah, bangun bukan mahu tanya soalan dalam sesi Q & A tetapi lebih hendak bantai Pas dan Syiah. Ustaz Abu Bakar Hamzah ambil kesempatan itu kerana kehadiran Ustaz Nakhaei Ahmad yang ketika itu Naib Yang Di Pertua Pas dan Subky Latif (rasanya sebagai Ketua Penerangan Pas).

Ustaz Abu Bakar Hamzah memang ada sentimen kritik Pas dan Syiah. Dia kritik ulama-ulama Pas. Macam-macam yang Ustaz Abu Bakar Hamzah kutuk. Lepas selesai majlis, Ustaz Bakar Hamzah menyapa penuh mesra Ustaz Nakhaei Ahmad dan Subky Latif. Mereka ketawa besar.

Saya tidak tahu apa yang menyebabkan mereka ketawa. Cuma lepas itu baru saya faham. Itulah stail ‘orang politik’, bertekak bagai mahu rak depan khalayak tetapi boleh duduk semeja menikmati segelas teh tarik.

Saya hanya memerhatikan saja. Kebanyakan mahasiswa pun begitu. Ramai pensyarah UM yang ambil bahagian dalam Q & A. Dialog itu rasanya sempat sekali atau dua sebelum diminta oleh pihak atasan dihentikan kerana menimbulkan rasa kebimbangan pengaruh Syiah dalam masyarakat.

Sebagai mahasiswa, saya melihat dialog itu lebih bersifat debat tapi membantu mencapahkan pemikiran kita. Bayangkanlah saya berada di tengah kedua-dua kelompok yang berkonflik keras itu. Saya gembira dengan tarbiyah sebegini. Sayangnya program debat itu dihentikan atas arahan pihak atasan.

Saya tidak pasti siapa di belakang program membawa Ustaz Hadi Awang berceramah di UM. Program itu dibuat sempena peristiwa isra wal mikraj. Saya dan kawan-kawan di Jabatan Geografi teruja hendak pergi. Program itu antaranya bertujuan meredakan polemik Syiah – Sunni di samping meluaskan pengaruh Pas di kalangan mahasiswa.

Kawan-kawan saya di Jabatan Pengajian Islam pula mengajak saya untuk mengaju beberapa soalan dan membentangkan beberapa hujah semasa program itu nanti. Saya tidak mahu beri komitmen. Come on la Sam! Kawan saya menghasut. Pada masa itu kawan-kawan panggil saya ‘Sam’. Pada masa itu, seingat saya perjumpaan di kantin Plazasiswa diketuai Rahimi (sekarang Prof di UM), Pok Ye dan beberapa kawan yang saya lupa.

Pada malam majlis itu. Saya pergi bersama rakan yang tinggal di Asrama Keempat. Kami menaiki motosikal masing-masing. Biasalah, jika bertiga anak muda naik motorsikal, racing lah. Pulas minyak semampu boleh. Tiba-tiba terdapat bonggol untuk mengurangkan kelajuan berdekatan selekoh di Fakulti Sains. Tetapi kelajuan kami sudah tidak dapat dikawal lagi. Apa lagi, melambunglah kami dan motorsikal kami.

Motor kapcai aku berlanggar RXZ member aku yang hendak pergi ceramah itu. Terlalu ghairah hendak tengok ceramah. Lututku berdarah dan seluar jeans saya koyak. Terduduk sekejap menahan kesakitan. Masing-masing salah. Tetapi kami tidak mengalah. Gagahkan juga untuk pergi.

Apabila kami sampai, DTC sudah penuh. Ustaz Hadi Awang berceramah jauh lebih ‘sedap’ dari Anwar. Karismatik. Ustaz Hadi Awang datang naik Pajero. Pada masa itu tidak ramai lagi orang guna kenderaan Pajero. Kami duduk di bahagian agak hadapan sikit. Saya pilih duduk dekat mikropon. Kalau ada peluang, saya akan tanya soalan.

Apabila sesi Q & A dibuka, satu demi satu bangun menuju mikropon. Beratur panjang nak soal. Saya pun ikut beratur. Kebanyakan dari Jabatan Pengajian Islam. Saya rasa semua bukan sangat menyoal Ustaz Hadi Awang. Mereka lebih fokus untuk membangkitkan persoalan pemikiran Islam, perbezaan antara Sunni dan Syiah. Ada yang siap, bawa hujah mengikut kitab itu, kitab ini, siap mukasurat dan nama penerbit kitab. Semua soalan dikumpul sebelum jawab. Saya ingat, kebanyakan soalan tiada kaitan dengan peristiwa isra wal mikraj.

Apabila tiba giliran Ustaz Hadi Awang jawab. Beliau menjawab penuh hikmah degan kata-katanya yang mempesonakan kami. Semua soalan dilayan. Kemudian beliau mengingatkan kami yang hadir usah berdebat soal Syiah-Sunni hingga timbulkan perpecahan sesama Islam. Jika hujah Saidina Ali kwj sepatutnya khalifah pertama benar, apa yang kita akan lakukan? Mereka semua sudah tiada. Kita umat Islam mesti maju ke hadapan dan jangan berpecah dengan perbezaan ini.

Pada saya, jawapan itu memuaskan. Namun beberapa kawan saya yang lain berpandangan sebaliknya, Ustaz Hadi Awang tidak menjawab soalan, lari tajuk dan bermacam-macam lagi.