Debat: Zamihan mahu bongkar penyelewangan agama Mufti Perlis

Debat: Zamihan mahu bongkar penyelewangan agama Mufti Perlis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin akan membongkar segala penyelewengan agama yang menyebabkan Mufti Perlis Datuk Dr. Asri Zainul Abidin dilarang berceramah di Kedah, Selangor dan Johor  dalam debat yang akan berlangsung 17 Februari ini.

Zamihan berkata, beliau akan membongkar segala penyelewengan agama oleh Asri yang menyebabkan beliau dilarang berceramah di Kedah, Selangor dan Johor dalam debat tersebut.

Beliau akan menjemput polis cawangan khas dari Bukit Aman, pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan beberapa mufti untuk menyaksikan debat yang akan berlangsung di Auditorium UnitPenyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) pada jam 9malam itu.

“Semalam saya jumpa setiausaha Shahidan Kassim dan saya maklumkansaya setuju untuk debat 17 haribulan ini.

“Ini saat-saat yang kita tunggu, saya akan bongkar semua penyelewengan mufti Perlis satu persatu.

“Saya tak gentar untuk bongkarkan betapa menyelewengnya ajaran agama yang dibawa oleh mufti Perlis dan itu menjadi sebab dia dilarang berceramah di Kedah, Selangor dan Johor,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Zamihan sebelum ini bersedia mengadakan perdebatan dengan Asri yang  didakwa mengaitkan dirinya dengan elemen pro syiah, ekstemis takfir dan sesat.

Kemudian Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim pula mencadangkan satu wacana ilmu diadakan melibatkan Asri dan
Zamihan.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau mencadangkan wacana itu diadakan pada 10 Februari ini dan dipersetujui oleh Asri.

Bagaimanapun, Zamihan berkata beliau tidak dapat hadir pada tarikh tersebut kerana dijadualkan untuk memberi ceramah kepada banduan.

Mengulas lanjut, Zamihan berkata, walaupun cabaran debat itu dilontarkan pada 4 Februari lalu namun Asri tidak menyambutnya sehinggalah Shahidan mencadangkan wacana ilmu itu diadakan.

“Saya kata kalau dia (Asri) betul-betul mufti, ada ilmu,anak jantan kita debat cara ilmiah. Itu saya kata saya bersedia 24 jam untuk berdebat dengan dia.

“Dah tiga empat hari cabar debat senyap sahaja. Lepas itu tiba-tiba bila debat ini dicadang oleh Shahidan Kassim dia mula tunjukkan kesungguhan dia untuk debat. Shahidan kassim pula arahkan setiausaha kerja supaya keluarkan surat debat 10 haribulan dan diviralkan dalam media sosial sedangkan setiausaha dia tak hubungi saya.

“Saya kata saya tak dapat hadir 10 haribulan kerana memulihkan pengganas dan penjenayah tegar di Penjara Machang, Kelantan,” katanya lagi.

Debat itu akan diadakan secara tertutup dan akan dihadiri sekitar 400 hingga 500 orang terdiri daripada ahli akademik, agamawan dan pegawai agama.

TAGS