Debu ketika panas, selut bila hujan, derita kerana bauksit di Kuantan

Hanya kerana permintaan tinggi dari China terhadap bauksit, masyarakat setempat di sekitar daerah Kuantan menjadi mangsa kepada pencemaran udara dan kerosakan alam pada tahap yang kritikal.

 

Hanya kerana permintaan tinggi dari China terhadap bauksit, masyarakat setempat di sekitar daerah Kuantan menjadi mangsa kepada pencemaran udara dan kerosakan alam pada tahap yang kritikal.

Fenomena laut merah serta kawasan hijau serta air sungai bertukar menjadi merah dibimbangi mengandungi arsenik yang tinggi. Jalan raya di sekitar kawasan pelabuhan dan perindustrian Gebeng pula semakin teruk dicemari akibat aktiviti mengangkut bauksit.

Penduduk sekitar pula terpaksa berdepan ancaman debu merah yang berterbangan ketika cuaca kering manakala selut ketika musim tengkujuh mengotorkan kenderaan dan menyukarkan pergerakan penduduk.

Wan Azizah terima memo dari KuantanItu situasi kritikal dihadapi mangsa pencemaran akibat perlombongan mineral itu seperti disuarakan oleh Gabungan Badan Bertindak Hentikan Pencemaran Bauksit di bangunan Parlimen hari ini selepas usaha mengetengahkan ancaman tersebut di persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang dilihat menemui jalan buntu.

Gabungan yang terdiri daripada komuniti setempat di kawasan terjejas menuntut supaya kerajaan mengambil tindakan serius ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab daripada terus mengaut keuntungan tanpa mempedulikan peraturan dan undang-undang sedia.

Kumpulan yang disokong oleh 22 NGO dan pertubuhan termasuk Pejabat Ahli Parlimen Kuantan serta Pejabat Adun Teruntum, Tanjung Lumpur, Semambu dan Beserah itu menggesa kerajaan membatalkan semua permit eksport bauksit yang telah dikeluarkan serta tidak lagi mengeluarkan permit baharu.

Selain itu, gabungan berkenaan menuntut supaya undang-undang dan garis panduan digubal melibatkan semua aktiviti daripada pengeluaran lesen melombong, pengangkutan, penyimpanan dan pemunggahan di pelabuhan.

Perlabuhan Kuantan pada 2011Ini termasuklah mendesak kerajaan supaya melakukan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) terhadap semua lombong bauksit tanpa mengira saiz lombong.

“Adakah hasil pendapatan yang diraih dari perlombongan bauksit ini setimpal dengan kerosakan jangka panjang terhadap rakyat dan negara?

“Adakah kos pemulihan alam sekitar yang terpaksa ditanggung kerajaan khususnya dalam jangka panjang jauh lebih rendah dari hasil yang diraih dari industri ini?

“Sehingga tuntutan kami ini dilaksanakan, kami minta semua aktiviti berkaitan bauksit diberhentikan serta-merta,” dipetik daripada memorandum Gabungan Badan Bertindak Hentikan Pencemaran Bauksit.

Perlabuhan Kuantan pada 2015 sudah menjadi merah.Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dilaporkan berkata, pendapatan royalti daripada lombong bauksit di negeri itu mencecah RM4 hingga RM5 juta setahun. Difahamkan terdapat 106 pengusaha bauksit di Pahang yang sebelum ini telah diingatkan supaya mematuhi peraturan berkaitan.

Adnan juga pada Februari lalu berkata, kerajaan negeri memberi tempoh selama dua bulan kepada  pengusaha bauksit untuk mengosongkan tujuh tempat simpanan mineral itu sebaliknya bauksit dan bijih besi terbabit disimpan di kawasan lain yang jauh dari kawasan penempatan dan di luar kawasan pelabuhan.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar yang turut menyertai himpunan di Parlimen hari ini berkata, perlombongan tanpa kawalan itu turut menyebabkan berlakunya kemalangan yang meragut nyawa, menjejaskan rezaki nelayan serta menimbulkan tekanan kepada penduduk termasuk sehingga membakar lori.

Adun Tanjung Lumpur itu turut kecewa dengan kegagalan kerajaan negeri apabila Menteri Besar sendiri sudah habis ikhtiar dalam menangani masalah perlombongan bauksit ini termasuk mendakwa tidak cukup kakitangan selain ancaman tonto.

Seramai 20 orang pengusaha bengkel dan peniaga kedai makan di sekitar kawasan Felda Bukit Goh di Kuantan berhimpun secara aman bagi menagih bayaran pampasan yang dijanjikan oleh 24 syarikat kontraktor bauksit kepada perniagaan yang terjejas akibat perlombongan bauksit.

Fuziah SallehSementara itu, sumber air minuman dari Bukit Sagu dan Bukit Goh, Kuantan kemungkinan besar tercemar dengan logam berat akibat aktiviti industri bauksit yang tidak terbendung, kata Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Fuziah yang juga pengerusi Gabungan Menentang Pencemaran Bauksit berkata pihaknya mendapati terdapat aktiviti mencuci tanah yang mengandungi bauksit di kawasan hulu sungai.

“Tinjauan saya semalam di Bukit Sagu dan Bukit Goh mendapati terdapat aktiviti mencuci tanah mengandungi bauksit di kawasan hulu sungai yang merupakan sumber air diambil untuk rawatan di loji air Bukit Sagu dan loji air Bukit Goh,” katanya dalam satu kenyataannya sebelum ini.   Fuziah berkata, perlombongan bauksit di Pahang kini mencapai tahap membimbangkan dan menimbulkan kemarahan penduduk Kuantan khasnya kerana pencemaran.

TAGS