Dedah kertas undi: Terpulang kepada SPR teliti dakwaan salah laku, kata Tok Mat

Dedah kertas undi: Terpulang kepada SPR teliti dakwaan salah laku, kata Tok Mat
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun (kanan) bersalaman dengan Datuk Seri Mohamad Hassan selepas membuat lawatan di pusat pembuangan undi di SJKC Chung Hwa semalam.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti sama ada beliau melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya berikutan tindakannya menunjukkan kertas undi dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau semalam.

Katanya, beliau hanya menunjukkan kertas undi miliknya, bukan kertas undi milik orang lain.

“Tak apalah. Biar dia teliti dulu,” katanya, ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi SPR, Azhar Harun bahawa beliau akan meneliti undang-undang di bawah SPR mengenai dakwaan itu.

Mohamad ditemui media ketika mengadakan “walkabout” di Pasar Rantau hari ini untuk bertemu dan mengucapkan terima kasih kepada pengundi atas kemenangan beliau.

Azhar semalam memberitahu, beliau tidak tahu sama ada Mohamad melakukan kesalahan atau tidak berikutan tindakan beliau mendedahkan kertas undinya yang telah dipangkah kepada sekumpulan jurugambar selepas membuang undi di pusat mengundi di SJKC Chung Hua, di sini.

Katanya, beliau perlu membaca dan meneliti peraturan sedia ada mengenai perkara tersebut seperti yang dibangkitkan oleh pemantau pilihan raya, Bersih 2.0, yang mahu polis serta SPR mengambil tindakan terhadap Mohamad.

“Yang saya tahu undi adalah rahsia dan kerahsiaan undi seseorang itu orang lain tak boleh pecahkan.

“Saya pun tak tahu, saya kena baca peraturan dan meneliti betul-betul peraturan mengenai perkara ini,” kata Azhar ketika bercakap kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK Rantau di SJKC Bandar Seri Sendayan, malam tadi.

Mohamad berkata, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan kerana menunjukkan kertas undinya.

“Saya tidak teruja, cuma beritahu apa yang saya undi.

“Tak salah, kenapa pulak salah? Saya tunjuk kertas undi saya, bukan orang lain punya.

“Selagi saya tidak bawa keluar (kertas undi), bagi saya ia tidak salah,” katanya, sambil menjelaskan sebagai calon yang bertanding, semua orang tahu beliau akan mengundi parti yang diwakilinya seperti dipetik FMT hari ini.

Bersih 2.0 dalam kenyataan semalam berkata, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu boleh mempengaruhi orang lain dengan menunjukkan kertas undi beliau.

Ia juga boleh memudahkan pembelian dan penjualan undi, katanya seperti dilaporkan.

Mohamad menang selesa mengalahkan pencabar terdekatnya daripada Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram dengan majoriti 4,510 undi.

Beliau mendapat 10,397 undi berbanding Streram yang meraih 5,887 undi, serta 2 Bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin yang masing-masing mendapat 83 undi dan 79 undi.