Dedah nama kementerian, kakitangan lantikan politik ganggu tugas penjawat awam

Dedah nama kementerian, kakitangan lantikan politik  ganggu tugas penjawat awam

 

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan supaya mendedahkan  nama menteri beserta kementerian yang terlibat berhubung isu kakitangan lantikan politik yang mengganggu tugas penjawat awam.

Cadangan itu ditujukan kepada Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda yang mendedahkan perkara ini kepada media, pada Isnin.

Mengulas lanjut isu itu, Syed Saddiq berkata pendedahan nama menteri beserta kementerian terlibat itu adalah supaya tindakan boleh diambil berdasarkan salah laku yang dilakukan.

“Kalau apa yang didedahkan Cuepacs (Datuk Azih Muda) itu ada kebenaran, dipersilakan untuk mengemukakan bukti.

“Kalau pukul rata sahaja, ianya tidak adil kerana sebagai contoh, hubungan kami dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sangat baik, hubungan pejabat menteri dan pimpinan tertinggi KBS juga sangat akrab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline pada Majlis Iftar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC),semalam.

Majlis berbuka puasa itu turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq yang juga Ketua Armada (Sayap Pemuda) Bersatu, menzahirkan rasa terhutang budi kepada penjawat awam khususnya pimpinan tertinggi kementeriannya kerana memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi.

“Saya lihat di kementerian saya, kami semua umpama satu keluarga.. saling membantu dan menasihati antara satu sama lain.

“Tiada dinding yang memisahkan antara kami semua.. Gerak kerja pun berjalan dengan begitu lancar sekali kerana semua itu kami lakukan secara bersama,” katanya.

Semalam, Datuk Azih Muda memaklumkan, pihaknya masih menerima laporan bahawa terdapat kakitangan lantikan politik yang mengganggu tugas penjawat awam, sekali gus mencetuskan kebimbangan berhubung dasar yang akan diputuskan oleh kerajaan tidak sampai ke peringkat bawahan.

Berhubung perkara itu, Azih berharap perkara sedemikian tidak berlaku di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai mencampuri urusan perkhidmatan awam.

Walaubagaimanapun, Azih enggan memberikan maklumat lanjut ketika ditanya wartawan mengenai jumlah laporan yang telah diterima pihaknya.