Dedah nama pemimpin terima dana luar negara harus dengan bukti, kata Mujahid

Dedah nama pemimpin terima dana luar negara harus dengan bukti, kata Mujahid
Datuk Dr Mujkahid Yusof (tiga dari kiri) ketika menandatagani plag perasmian pembinaan bangunan baru SAR Sadatud Darain, Kepala Batas.

Dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, untuk mendedahkan nama pemimpin parti lain yang menerima dana luar negara harus dikemukakan dengan bukti, kata Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, sesiapa sahaja dan dari parti mana sekali pun yang menerima dana dari luar negara perlu menerimanya dalam bentuk yang telus.

“Apa sahaja dana yang diterima dari luar negara haruslah telus.

“Ia juga perlu dilihat dari segi undang-undang sama ianya melanggar undang-undangan negara atau sebaliknya.

“Sekiranya ia melanggar undang-undang, maka tidak kira siapa pun, maka tindakan haruslah dilihat dari aspek undang-undang sedia ada, “ujarnya ketika ditemui selepas majlis perasmian pembinaan bangunan baru Sekolah Agama Rakyat, Saadatud Darain, Kepala Batas.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sekiranya Presiden Pas dapat membantu dengan mengemukakan bukti yang kukuh bahawa ia adalah suatu kesalahan dari segi undang-undang, ia tidak boleh disangkal.

“Tidak ada siapa yang boleh menyanggahnya sekiranya benar wujudnya kesalahan dari segi undang-undang.

“Walau bagaimana pun ia tidak harus dijadikan bahan politik atau kepentingan politik.

“Kita tidak mahu hanya kenyataan demi kenyataan, sebaliknya tidak ada bukti yang kukuh, ” tegasnya lagi.

Semalam Hadi mencabar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan nama pemimpin Pas yang didakwa menerima dana berjumlah RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pemberian Umno,

Namun begitu kata Hadi, pihaknya juga mempunyai nama pemimpin parti lain yang didakwa menerima dana dari luar negara.