Dedah skandal bukan demi politik, lebih kepada kepentingan awam – Rafizi

Oleh KIM SYAZIE

Semakin banyak kes salah laku bekas pemimpin yang tersebar kepada umum, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengingatkan pembangkang untuk dedah salah laku kerajaan tanpa bermotifkan politik.

Rafizi memaklumkan akan mendedahkan skandal kepada umum dengan niat untuk jimatkan dana awam dan hanya gunakan dokumen yang sudah tersedia.

“Hanya ada satu ketika saya menggunakan dokumen OSA (Akta Rahsia Rasmi 1972) untuk skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan saya berbuat demikian untuk mendapatkan maklum balas.

“Jika pembangkang mendedahkan salah laku kerajaan, mereka perlu mempertimbang sama ada mereka sanggup mengambil risiko atau tidak.

“Saya tidak begitu bimbang kerana saya meragui bahawa ada ahli politik yang sanggup mengambil risiko untuk ke penjara seperti saya,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Ulasan tersebut diberikan timbalan presiden PKR susulan kenyataan dibuat Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah dikatakan memiliki fail yang boleh mengaitkan beberapa pemimpin kerajaan dengan salah laku namun beliau masih memikirkan sama ada mahu menggunakannya atau tidak.

Rafizi berkata, berdasarkan pengalaman peribadi, jika ada skandal besar membabitkan sesiapa sahaja, kesemua maklumat dan dokumen terbabit pasti sudah lama didedahkan.

“Besar kemungkinan media sudah dapat. Kami hidup dalam era yang mana perkara seperti ini tidak boleh disembunyikan, jadi saya melihatnya sebagai retorik semata-mata,” katanya.

Baca juga: Ini punca kenapa sumbangan diterima parti Bersatu ada unsur rasuah