Malaysia Dateline

Dedahkan bagaimana wang RM400 juta dibelanjakan, desak Husam kepada kerajaan Kelantan

Kerajaan negeri Kelantan perlu didesak agar mendedahkan ke manakah mereka belanjakan wang royalti Petroleum sebanyak RM400 juta yang mereka terima dari kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Ini kerana, kerajaan negeri Kelantan tidak pernah mendedahkan apa yang mereka lakukan terhadap wang tersebut sebelum ini.

“Sebaliknya, Kerajaan Negeri telah bersikap seperti tikus jatuh ke beras!” katanya merujuk kepada perumpamaan Melayu sikap buruk sesaorang yang mendapat sesuatu hanya berdiam diri sahaja tanpa bercakap.

Menurut bekas pejuang utama tuntutan royalti petroleum untuk Kelantan, Datuk Husam Musa, desakan ini perlu dilakukan oleh gerakan R yang selama ini berjuang untuk menuntut royalti minyak untuk Kelantan.

“Kerajaan Kelantan mesti telus dan berterus terang dengan Rakyat Kelantan tentang penggunaan wang ihsan petroleum yang telah diterima.

“Sehingga kini, rakyat jelata tidak mendapat apa apa maklumat bagaimana wang beratus ratus juta itu telah dibelanjakan.

“Lebih menyedihkan, bila adanya perbelanjaan membeli kereta mewah untuk anggota kerajaan ketika rakyat ternanti nanti untuk melihat limpahan manafaat yang boleh dinikmati oleh rakyat biasa dari hasil khazanah bumi itu.

“Ngo R wajar mendesak Kerajaan Negeri mendedahkan kepada rakyat semua perbelanjaan dari wang ihsan itu,” kata Husam dalam satu kenyataan beliau.

Bagi beliau, Kerajaan Kelantan juga mesti berani melantik juru audit luar untuk memeriksa akaun wang berkenaan dan kemudian membentangkannya kepada Rakyat Negeri Kelantan jika ia mengamalkan ketelusan dan jujur dengan rakyat.

Husam menyatakan perkara ini ketika diminta memberikan pendapat mengenai kenyataan Menteri Kewangan tidak akan membayar wang dari petroleum kpd Kerajaan Kelantan atas nama royalti – tetapi atas nama wang ihsan saja.

Ekoran dari itu, Gerakan R akan menggerakkan semula aktiviti mereka.

Menurut bekas Exco Kanan kerajaan Kelantan itu, tuntutan royalti petroleum di era Pas menjadi sebahagian Kerajaan Pusat boleh dijayakan melalui kuasa tawar menawar antara menteri kabinet Pas dan Petronas serta Perdana Menteri.

“Malangnya, hal ini tidak berlaku,” kata beliau.

Oleh itu, katanya, NgO R sepatutnya terlebih dahulu mendesak anggota Kabinet dari Pas memainkan peranan mereka dgn bersungguh sungguh ketika Allah memberikan mereka peluang keemasan sekarang.

Husam ketika mengetuai R bagi menuntut royalti petroleum untuk Kelantan.

Kerajaan Kelantan juga, katanya, perlu mengambil kesempatan dari kedudukan yang ada untuk mengemaskan lagi tuntutan royalti itu.

“Ini termasuk, berunding dengan Kerajaan Pas Terengganu untuk menentukan sempadan laut antara Kelantan dan Terengganu dan kemudian menggazetkannya.

“Kedudukan sempadan laut ini nanti amat perlu untuk menentukan kejayaan sebahagian tuntutan Kelantan,” kata beliau.

Bagi beliau perjuangan tuntutan royalti turut dijayakan oleh banyak pihak, termasuk media dan sebahagian rakyat sendiri.

“Antaranya, tuan tuan punya bot yang telah meminjamkan bot mereka untuk meninjau pelantar minyak yang ada di perairan Kelantan dan pasukan media yang ikut bersama.

“Kejayaan mendapat ratusan juta wang petroleum, sekali pun atas nama wang ihsan, harus disyukuri. Antaranya, dengan meraikan mereka dan memberikan tanda peringatan sebagai satu cara penghargaan,” katanya.