Malaysia Dateline

‘Deep State’: Kakitangan kerajaan perlu taat pada pemerintahan yang dipilih rakyat

Kakitangan kerajaan negeri maupun kerajaan pusat harus memberikan khidmat yang profesional, beretika dan cemerlang kepada rakyat melalui kerajaan hari ini atau ‘government of the day’ yang diberi mandat oleh rakyat.

Demikian saranan yang diberikan oleh Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Malah katanya lagi, adalah menjadi hak setiap rakyat termasuk kakitangan kerajaan untuk mengundi memilih parti yang mereka sukai, namun begitu mereka wajib taat kepada pemerintahan yang dipilih oleh rakyat.

Tegasnya, fenomena ‘Deep State’ atau daulah terpendam bukan suatu yang baru, sebaliknya kerajaan Kelantan (1990), Terengganu (1999) dan Perak (2008) pernah melalui episode yang sukar diawal pemerintahan masing-masing dan ini merupakan satu tindakan yang tidak profesional, tidak beretika serta tidak bermoral.

“Fenomena ‘Deep State’ tetap merupakan satu kesalahan moral dan integriti yang boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan.

“Motto kakitangan kerajaan sudah dibubah dari ‘saya yang menurut perintah’ kepada ‘saya yang menjalankan Amanah’ amat wajar difahami dan disemat dihati nurani semua.

“Mereka yang terlibat adalah diharapkan akan kembali memberi fokus dan menghayati tugas dan tanggungjawab penjawat awam,” ujarnya yang juga merupakan Naib Pengerusi 1 AMANAH Negeri Pulau Pinang.

Tambah beliau, dengan mengimplementasi secara realiti khidmat profesional, beretika dan cemerlang tersebut, ia akan memberi manfaat yang besar bukan saja kepada rakyat yang mengharapkan amanah tersebut dilaksanakan, seterusnya akan memberi imej yang amat baik kepada kerajaan sedia ada, khususnya dalam memberi pembelaan terhadap nasib rakyat.