Definasi ‘berita tidak benar’ akan diperjelaskan, kata PM

Kerajaan tidak akan menyekat berita yang tidak pro kerajaan asalkan ia ada asasnya, kata Tun Dr Mahathir.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memberikan definasi yang jelas tentang ‘Berita Palsu’ sebagaimana yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini bertujuan untuk memberikan kefahaman yang jelas kepada orang awam dan organisasi media apa yang dikatakan ‘berita palsu’ dan ‘bukan berita palsu’.

“Undang-undang berita tidak benar akan diberikan definasi yang jelas supaya orang ramai dan syarikat media akan faham apa yang dikatakan berita palsu dan apa yang bukan palsu,” kata Mahathir dalam wawancara khas dengan RTM.

Bagi beliau, akhbar akan sentiasa pro pelbagai pihak dalam menjalankan tugas mereka.

“Kita tidak akan sekat mereka asalkan laporan mereka mempunyai asas. Berita palsu untuk mencetuskan ketegangan tidak akan dibenarkan

“Tetapi kalau mereka membuat laporan benar walaupun tidak disenangi kerajaan, itu mereka bebas dan tidak akan dikenakan tindakan,” katanya.

Menurut beliau, kebebasan media dan kebebasan bersuara ada limitnya.

“Jika ada yang cuba kacau cetuskan ketegangan, kita akan ambil tindakan dengan undang-undang tertentu,” katanya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 9.0