Malaysia Dateline

Dek kerana ‘kartel dedak’ ahli Pas diingatkan tidak bincang isu dalaman parti di media

Susulan isu kartel dedak  antara  pendedahan  ahli parti  terhadap  pimpinan atasan Pas , semua ahli-ahli Pas diarahkan tidak membincangkan dan membahaskan sebarang isu melibatkan urusan parti itu di dalam semua bentuk media yang berkuat kuasa hari ini,

Arahan larangan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan hari ini yang mengingatkan semua ahli parti jika terdapat,  sebarang pandangan, pendapat, cadangan atau kritikan mesti disalurkan melalui saluran parti di pelbagai peringkat.

“Ini merupakan disiplin parti yang menjamin kebebasan bersuara di samping pada masa yang sama mengawal serta memelihara kerahsiaan organisasi,” ujarnya.

Pas juga mengingatkan ahli partinya bahawa menjadi kesalahan tatatertib sekiranya seseorang ahli melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti.

“Adalah menjadi kesalahan sekiranya ahli tidak taat dan patuh kepada arahan parti yang berdasarkan kepada Perlembagaan, Aturan dan Peraturannya

“Perintah larangan ini berkuatkuasa serta merta. Sebarang keengkaran terhadap perintah ini membolehkan seseorang ahli dihadapankan ke Jawatankuasa Tatatertib parti,” ujarnya.

Kenyataan rasmi Pas hari ini dipecayai dibuat setelah perbalahan berlaku antara menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Zaharudin Muhammad dengan beberapa kepimpinan Pas kerana mendedahkan kartel dedak di dalam parti itu.

Semalam Abdul Hadi dalam sidang medianya menegaskan tindakan tatatertib akan dikenakan ke atas Zaharuddin yang memuat naik kenyataan mengenai kartel dedak di laman facebooknya.

Sehubungan itu Zaharuddin hari ini di laman facebooknya menyatakan kesediaan beliau untuk berhadapan dengan Jawatankuasa Tatatertib Pas.