Tular sebelum mengenai pelanggan yang memuat naik gambar resit nasi ayam goreng kunyit pada harga RM20 sepinggan.
Tidak mahu salah faham, pemilik restoran, Zulfan Bustami memaklumkan pelanggan tersebut sudah melihat menu makanan yang jelas terpapar harga.
Menurut Harian Metro, pemilik tersebut mempersoal tindakan pelanggan yang sengaja memuat naik gambar sedangkan sudah mengetahui harga makanan tersebut adalah RM20.
“Dia sendiri lihat harga (makanan) dalam buku menu ketika buat pesanan.
“Masa bayar di kaunter tak cakap apa pun sebelum berlalu pergi, kemudian tularkan di media sosial yang mengundang persepsi negatif, apa motif?
“Saya tiada di restoran ketika kejadian, cuma tahu perkara itu selepas dimaklumkan pekerja mengenai gambar makanan dan resit berjumlah RM24 tular di media sosial,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Harga mahal sebab lokasi
Tambahnya ada kemungkinan perkara tersebut ditularkan orang ketiga kerana pelanggan tersebut adalah orang tempatan yang sudah biasa dengan harga.
“Pelanggan terbabit adalah orang tempatan dan sepatutnya dia sedia maklum harga makanan di sekitar Pantai Chenang tinggi sedikit berbanding kawasan lain, ini disebabkan kadar sewa kedai juga tinggi di kawasan ini,” katanya.
Pada masa sama dia memaklumkan saiz makanan tersebut sesuai dimakan dua orang malah sudah berhubung dengan pelanggan untuk meminta maaf tapi dia mengelak.
Zulfan juga memaklumkan kedainya sudah dihubungi penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk melakukan pemeriksaan dan menyerahkan notis semalam