Malaysia Dateline

Dekati bakal pengundi 18 tahun dengan aktiviti mendaki

Sekumpulan 15 pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini turut berminat menyertai aktiviti merentas Hutan Simpan Komuniti Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.

Mereka antara 45 pendaki Denai Tiga Puteri dalam program anjuran bersama Biro Sukan Pemuda AMANAH Shah Alam dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Jawa.

Penyelaras program, Muriza Hazrul Abdul Muhi berkata, misi menawan puncak setinggi 300 meter di hutan yang merupakan sebahagian Hutan Simpan Sungai Buloh itu menarik penyertaan segenap lapisan usia.

“Paling cilik berumur tujuh tahun, paling veteran berusia 64 tahun dengan ramai lagi pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Kita mahu buka dulu minda masyarakat kita bahawa hiking ini baik untuk memberi kecergasan,” kata bekas Exco Pemuda AMANAH Nasional itu.

Peserta tiba di puncak jam 11.30 pagi selepas kira-kira dua jam mendaki.

Menurut Muriza, penyertaan remaja bertujuan jangka panjang bagi mendekati golongan pengundi 18 tahun pada PRU-15 akan datang.

“Mereka merupakan anak pimpinan AMANAH kawasan (Shah Alam) juga rakan-rakan sebaya mereka di sekolah.

“InsyaAllah, selepas ini kita akan pergi ke Gunung Nuang dalam Hutan Simpan Hulu Langat atau Gunung Angsi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Selain mendaki, kami bercadang untuk menggerakkan aktiviti merentas gua atau ‘caving’ di Gua Batu Maloi dekat Johol, Negeri Sembilan dan Gua Wang Burma di Perlis,” kata Muriza lagi.

Pemandangan dari puncak Denai Tiga Puteri.