Deklarasi Rakyat bukan agenda DAP untuk hancurkan Umno, kata Muhyiddin

Deklarasi Rakyat bukan agenda DAP untuk hancurkan Umno, kata Muhyiddin

Tuduhan yang mengatakan Deklarasi Rakyat adalah agenda DAP untuk menghancurkan Umno merupakan satu tuduhan yang tidak benar,’ kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, Deklarasi Rakyat bukan agenda mana-mana parti politik , kerana ia terbit daripada kesedaran individu daripada pelbagai latar belakang sosial dan politik yang sedar bahawa kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri sudah tidak wajar lagi memandangkan beliau terpalit dengan pelbagai skandal kewangan yang menjejaskan keyakinan rakyat kepada beliau untuk memimpin Malaysia.

“Malah imej negara kita juga terjejas teruk di peringkat antarabangsa. Hakikatnya, Deklarasi Rakyat adalah perjuangan rakyat yang merentasi ideologi politik, kaum dan agama untuk menentang kemungkaran, menyelamatkan Malaysia dan menebus kembali maruah negara,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Jumaat lepas, Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri.

Antara lain, ia turut dihadiri Muhyiddin sendiri, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.

TAGS