Deklarasi Rakyat:  Ruang ahli Umno bersuara selamatkan negara

Deklarasi Rakyat: Ruang ahli Umno bersuara selamatkan negara

Tun Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan pemimpin Umno dan DAP perlu melupakan seketika perseteruan mereka untuk melawan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tiada pilihan lain untuk menyelamatkan negara dari lebih terjerumus dengan masalah yang ada sekarang.

Katanya, beliau sedar ramai ahli Umno dan juga DAP yang sekian lama memusuhi antara satu sama lain tidak senang pemimpin mereka berada dalam pentas yang sama.

“Amat sukar bagi ramai dalam kedua-dua parti yang bermusuh ini menerima bahawa mereka yang menandatangani deklarasi menolak Najib berbuat demikian bukan sebagai ahli parti, tetapi sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam tulisan terbaru di blognya semalam.

Namun, katanya lagi, tindakan Najib yang sudah menutup segala jalan penyelesaian dalam Umno serta menekan parti politik lain menyebabkan tiada lagi ruang untuk bersuara.

“Oleh itu tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang terpaksa membelakangkan pertubuhan dan perjuangan mereka supaya suara mereka dapat diperdengarkan kepada semua. Mereka perlu bertindak sebagai “citizen” (rakyat) dan bukan lagi sebagai parti atau badan-badan tertentu.

“Kesedaran inilah yang menyebabkan mereka yang bermusuh membelakangkan permusuhan buat sementara. Mengutamakan parti masing-masing bermakna menyokong dan mengekal rejim Najib,” tegasnya lagi.

Bekas Perdana Menteri itu membangkitkan apa yang berlaku kepada umat Islam di Timur Tengah, yang gagal melupakan perbezaan sesama mereka bagi menentang musuh bersama.

“Mereka lebih utamakan permusuhan sesama mereka, permusuhan antara Sunni dengan Syiah, antara Fatah dengan Hamas, antara Iran dengan Arab. Mereka lupakan musuh sebenar mereka. Maka bertepuk tanganlah Israel dan Amerika,” katanya lagi.

TAGS