Deklarasi rakyat tidak cabuli perlembagaan, kata DAPSY

Deklarasi rakyat tidak cabuli perlembagaan, kata DAPSY

Wong Kah WohTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak ada hak menyatakan Deklarasi Rakyat yang menuntut penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak demokratik.

Sedangkan Umno-BN merupakan dalang utama dalam krisis Perlembagaan negeri Perak pada 2009 yang menyaksikan sistem demokrasi dicabuli.

Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Wong Kah Woh berkata, Zahid perlu mengimbas rekod lama Najib dan mengambil tindakan terhadap beliau yang tidak menghormati semangat Perlembagaan ketika krisis Perak sebelum ini.

“Zahid menyatakan segala usaha menyingkir Najib tanpa mengikut cara demokrasi adalah tidak sah di sisi undang-undang. Namun, Deklarasi Rakyat yang memperoleh sokongan 58 pemimpin adalah menerusi saluran aman dan mengikut undang-undang.

“Adakah Zahid gagal memahami perkara itu?” katanya dalam satu kenyataan media.

Kah Woh mengulas kenyataan Zahid semalam, bahawa Deklarasi Rakyat ditandatangani pemimpin dari latar belakang dan parti politik berbeza menuntut penyingkiran Perdana Menteri sebagai “penukaran kerajaan secara tidak demokratik”.

Menurut Adun Canning itu, Najib bukan sahaja mencemarkan sistem pilihanraya di Perak, tetapi mengancam sistem undang-undang apabila mahkamah membuat keputusan memihak kepada kerajaan UMNO BN pasca krisis negeri itu.

“Kuasa Speaker dalam mengendalikan urusan Dewan Perundangan yang sepatutnya tidak boleh dicabar, diancam dengan pengisytiharan mahkamah bahawa penggantungan Exco UMNO oleh Speaker ketika itu (V. Sivakumar) tidak sah.

“Ia merupakan suatu keadaan tidak diingini dalam semangat pendemokrasian negara, malah mencederakan sistem pengasingan kuasa antara eksekutif, kehakiman dan perundangan,” katanya.

Menyifatkan skandal 1MDB dan RM2.6 bilion sebagai amat serius, Kah Woh berkata, Zahid hanya menimbulkan kemarahan rakyat jika terus melindungi Najib.

TAGS