Deklarasi rakyat tidak jadi kudis pada Umno, kata Tengku Adnan

Deklarasi rakyat tidak jadi kudis pada Umno, kata Tengku Adnan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyifatkan 58 individu yang hadir dalam Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia, tidak akan menjadi kudis pada parti itu.

Beliau berkata, rakyat kini lebih matang dan sedar bahawa kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak akan sentiasa bergerak ke hadapan.

Ditanya samada Umno akan mengadakan satu mesyuarat khas berhubung Deklarasi Rakyat itu, beliau menegaskan, tiada keperluan ke arah itu.

“Kenapa perlu bermesyuarat? Ini tidak menjadi kudis kepada Umno. Kita akan meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Kerajaan Barisan Nasional iaitu kerajaan yang sah.

“BN akan terus mentadbir negara dan rakyat tidak perlu gusar dan bimbang

“Saya percaya sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab kepada rakyat yang memilih kami. Kami akan melaksanakan semua agenda yang diamanahkan,” ujarnya.

Beliau ditemui pihak media selepas merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan majlis pecah tanah Surau Komuniti Acheh di Kampung Bharu di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani.

Tengku Adnan turut melahirkan rasa keliru dengan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersekongkol dengan parti pembangkang terutamanya DAP untuk menjatuhkan kepimpinan negara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu dipetik sebagai berkata, ini kerana perdana menteri kelima itu pernah menggelarkan pemimpin parti itu sebagai ‘tidak boleh pakai’.

“Saya tidak faham yang beliau duduk dan bersekongkol dengan pembangkang seperti Lim Kit Siang yang dulu pernah digelarnya tidak boleh dipakai, DAP tidak boleh dipakai, AnwarIbrahim tidak boleh pakai.

“Semuanya tidak boleh pakai tetapi sekarang duduk bersama. Saya pun naik pening. Apa yang beliau hendak lakukan pun saya tidak tahu.

“Tetapi tindakan Tun Mahathir langsung tidak akan menjejaskan undian rakyat kepada BN menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak,” katanya.

Tengku Adnan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan Dr. Mahathir yang bekerjasama dengan parti pembangkang dengan menandatangani Deklarasi Rakyat sama ada akan menjejaskan undian terhadap BN menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak lama lagi.

TAGS