Deklarasi Rakyat tolak kuasa mutlak PM – Wanita PKR

Deklarasi Rakyat tolak kuasa mutlak PM – Wanita PKR

Deklarasi Rakyat yang diisytiharkan baru-baru ini adalah satu tindakan segera sebagai tindak balas menolak kuasa mutlak yang dinikmati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya menyokong penuh Deklarasi Rakyat yang diumumkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad 4 Mac lalu bagi memastikan keseimbangan pembahagian kuasa dalam politik.

“Tidak boleh ada hanya satu pihak tertentu sahaja yang memegang penguasaan terhadap gabungan parti politik seperti yang telah terjadi pada Umno dalam BN.

“Keadaan di mana satu parti yang lebih kuat daripada parti yang lain dan hanya seorang sahaja yang membuat keputusan adalah sesuatu yang tidak sihat untuk rakyat.

“Kebebasan bersuara yang sepatutnya menjadi satu keistimewaan telah bertukar menjadi satu hak yang tidak dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Sehubungan itu, beliau tidak hairan apabila pejuang hak asasi manusia seperti Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dan bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga turut menandatangani deklarasi rakyat untuk menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri.

Zuraida juga mencadangkan pembaharuan dilakukan dalam sistem pentadbiran negara seperti mengehadkan tempoh memegang kuasa Perdana Menteri kepada dua penggal.

“Ini akan menyelamatkan negara kita dari diperintah oleh pemimpin diktator melalui penumpuan kuasa untuk tempoh masa yang panjang,” katanya.

Konsep ‘pemisahan kuasa’, ujar beliau perlu dipertahankan dengan apa cara sekalipun dengan ketua-ketua perkhidmatan awam seperti polis, pendakwa dan hakim tidak boleh dipengaruhi oleh ‘kuasa yang lebih besar’ bagi memastikan mereka menjalankan tugas dengan adil tanpa rasa takut dan pilih kasih.

“Negara kita sedang berada dalam keadaan reput dan rosak, dari teruk ke lebih teruk, hari demi hari.

“Jika hari ini kita tidak bersuara, maka suara kita akan mula pupus. Menjadi harapan kami untuk menuju ke arah negara yang lebih baik. Reformasi!” tegasnya.

TAGS