Malaysia Dateline

Dekoder MyTV Broadcasting yang diedar secara percuma kepada penerima BR1M

Dekoder tidak mampu ‘kenyangkan’ rakyat, kata MP Pokok Sena

Dekoder percuma itu adalah bagi kegunaan siaran televisyen digital melalui projek Pendigitalan Penyiaran Nasional yang dikendalikan MYTV Broadcasting Sdn Bhd.

Bagaimanapun pemasangan dekoder itu perlu dibuat sendiri dan jika perkhidmatan ajen pemasangan diperlukan, caj RM180 untuk pemasangan antena dan pendawaian dikenakan dengan tambahan caj perkhidmatan sebanyak RM50.

Mahfuz melahirkan perasaan lucu apabila pemberian dekoder percuma itu dianggap perdana menteri sebagai ‘mengurangkan beban kos sara hidup rakyat’.

“Gelak keras perut melihat polisi PM Najib bagi atasi beban kos sara hidup rakyat miskin dengan bagi dekoder percuma yang berharga RM199,” ujarnya sinis.

Menurut beliau, rakyat miskin kini berhempas pulas dengan kenaikan harga barang akibat GST dan penarikan subsidi barangan keperluan, manakala pekebun kecil berhadapan harga komoditi yang rendah.

Golongan pekerja pula, katanya memperolehi gaji yang rendah berbanding kenaikan harga barang.

Sehubungan itu, beliau mempertikaikan rasional pemberian dekoder percuma itu sebagai mampu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Mahfuz berkata, beban yang ditanggung rakyat boleh diringankan kerajaan dengan penghapusan GST, pemberian subsidi barang keperluan dan kenaikan gaji.

“Rakyat miskin nak PTPTN dihapuskan dan tol ditiadakan.

“Rakyat sepakat bukan dekoder  yang mereka nak. Kalau bagi depa ambil. Yang paling rakyat nak adalah Najib, Umno dan BN turun dari takhta kuasa,” katanya.