Dekorasi dahi tema Bollywood-Wanita muslim perlu elak ia perbuatan tasyabbuh kerana jelas simbol keagamaan

Oleh NASUHA RAHMAN

Susulan celoteh Dr Malar di TikTok berhubung hiasan oleh wanita muslim bagi memenuhi tema Bollywood seperti meletakkan pottu di dahi, seorang penyelidik menjelaskan perbuatan itu tasyabbuh kerana jelas ianya simbol keagamaan.

Teguran Dr Malar itu sangat baik supaya wanita muslim tidak mengenakan atau meletakkan pottu di dahi sewaktu berpakaian tema Bollywood atau Hindi.

Kerana meletakkan pottu atau bindi itu bukan budaya ia adalah simbol keagamaan.

Seorang penyelidik melalui Facebook Ahmad Iqram Mohamad Nor mendedahkan meletakkan hiasan bindi atau pottu untuk memenuhi tema Bollywoood ia merupakan simbolik dan identiti keagamaan dan bukan kebudayaan.

Oleh itu, katanya sebagai muslim imej sebegini adalah perlu dielakkan kerana ia termasuk dalam bentuk tasyabbuh (menyerupai) yang mana muslim dilarang menyerupai amalan dan imej orang bukan Islam yang jelas bersifat keagamaan.

Sabda nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” Riwayat Abu Daud (4031)

Ini pencerahan Ahmad Iqram Mohamad Nor berkenaan perkara itu;

Saya telah menonton video Dr Malar (Celoteh Dr Malar) memberi teguran yang sangat baik supaya wanita muslim tidak mengenakan Bindi (dalam bahasa Tamil disebut sebagai Pottu) di dahi sewaktu mengenakan pakaian bertemakan Bollywood atau Hindi.

Saya ucapkan tahniah dan terima kasih banyak atas teguran Dr Malar itu yang begitu peka akan isu sebegini.

Secara umumnya konsep simbolik “hiasan” di dahi ini masyarakat Hindu namakan sebagai Tilak. Tilak merujuk kepada apa-apa simbolik yang disapu di dahi seseorang penganut Hindu.

Ini kerana di dalam agama Hindu mereka percaya bahawa dalam diri batin seseorang itu terdapat 7 titik chakra yang perlu dibuka oleh seseorang untuk mencapai “pencerahan” bagi mendapat tahap spiritual tertinggi.

Salah satunya adalah titik chakra keenam yang merujuk chakra di dahi yang dikenali sebagai Chakra Ajna atau Chakra Mata Ketiga.

Bagi penganut Hindu, mereka percaya dengan memakai Tilak di dahi ia membantu untuk membuka titik chakra tersebut di dahi.

Malah bagi setiap aliran penyembahan dewa dalam agama Hindu mereka memiliki simbolik berbeza di dahi.

Jika seseorang itu beraliran penyembahan dewa Siva (Saivite) maka Tilak di dahi mereka akan berbentuk 2 atau 3 garis putih memanjang secara melintang di dahi.

Jika mereka aliran penyembah dewa Vishnu (Vaishnava) maka Tilak di dahi mereka akan berbentuk “U” dan “V”.
Manakala bagi penyembah aliran Dewi (Shakta), mereka akan mengenakan tilak berbentuk titik dot merah di dahi. Begitu juga dengan masyarakat Hindu Bali, mereka mengenakan Tilak beras ditampal di dahi mereka.

Selain itu juga mereka memiliki satu lagi dekorasi di dahi khusus bagi wanita Hindu dengan dinamakan sebagai Bindi atau Pottu yang berbentuk pes merah yang disapu dot di dahi atau kadang kala digunakan permata atau manik.

Bindi juga sinonim dengan simbolik keagamaan terutama menandakan perkahwinan bagi wanita Hindu.

Secara kesimpulan, dekorasi di dahi bagi imej penganut Hindu adalah merupakan simbolik dan identiti keagamaan dan bukan kebudayaan.

Baca juga: Dr Malar tegur wanita Islam tentang pakaian tema Bollywood, jangan berlebihan sampai terikut hiasan agama Hindu

Baca juga: “Nanti kakak pula tolong adik masuk syurga ya,” – Netizen sebak tengok adik tolong kakak ‘istimewa’ pakai kasut