Malaysia Dateline

Delegasi Kelantan yakin sumbangan cemerlang AMANAH bangunkan negara

AMANAH semakin diyakini dapat mencorakkan pencapaian cemerlang negara khususnya dalam bidang pembangunan Islam.

Delegasi perwakilan Kelantan menganggap ucapan perasmian presiden parti itu, Mohamad Sabu di konvensyen ke-4 yang berlangsung di IDCC Shah Alam petang ini memberi mesej jelas mengenai perkara itu.

Ketuanya, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, peranan AMANAH dalam mencorakkan perlaksanaan Islam di peringkat parti, negara dan antarabangsa semakin terserlah.

“Dengan pedoman “Rahmatan lil alamin” Islam yang dibawa AMANAH dapat mencorak masa depan ahli dan pimpinan parti yang mahukan amalan Islam praktikal dan bukannya retorik semata-mata,” katanya ketika diminta mengulas ucapan berkenaan.

Di peringkat kerajaan katanya menteri-menteri yang mewakili AMANAH jelas berjaya merealisasikan janji-janji yang dikemukakan kepada rakyat untuk dilaksanakan jika diberi mandat.

“Seperti dinyatakan dalam ucapan presiden, lebih 60 peratus cadangan berkaitan kesihatan telah dilaksanakan selepas menteri kita menjalankan tugas di kemeterian berkenaan.

“Begitu juga pencapaian menteri agama yang kini berjaya memartabatkan dasar ‘Rahmatan lil alamin’ sebagai dasar negera,” katanya.

Islam yang dibawa AMANAH dalam kerajaan menurutnya bukan sekadar fahaman sempit yang melibatkan ibadat khusus dan hukum hakam semata-mata.

“Islam perlu dilihat secara menyeluruh mencakupi setiap bidang kehidupan termasuk pertanian, peningkatan tenaga kerja, kesihatan, pertahanan dan lain-lain.

“Sebab itu penegasan presiden supaya semua aspek perlu diberi perhatian adalah tepat seperti yang dikehandaki ajaran Islam yang diajar dan dipraktikkan oleh Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau yakin dengan perkembangan Islam yang sedang dilaksanakan sekarang manfaat bukan sekadar dirasai oleh warganegara malah juga masyarakat antarabangsa.

“Islam yang diamalkan secara yang bertepatan dengan kehendak Allah dan Rasul pasti akan menarik perhatian semua pihak untuk dicontohi.

“Sekarang pun ramai tokoh Islam terkenal tertarik dengan pendekatan kita dan mahu berbincang untuk dijadikan model bagi masyarakat Islam lain,” katanya.