“Demi Allah, individu itu bukan saya” – Isman Hijjaz nafi akan nikahi Ina Naim

Oleh MALAYSIADATELINE

Anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam mengakui amat terkejut apabila didakwa sebagai calon suami baharu Ina Naim yang juga balu kepada penyanyi nasyid, Allahyarham Suhaimi Saad.

Malah Isman juga langsung tidak tahu-menahu tentang khabar pernikahan Ina Naim selain menegaskan bahawa dirinya tiada kaitan dengan cerita perkahwinan tersebut.

Penyanyi nasyid terbabit bagaimanapun tidak menafikan bahawa dirinya mempunyai hubungan baik dengan keluarga Ina namun menganggap wanita itu sebagai adiknya sahaja.

Menurutnya jika benar kad jemputan perkahwinan itu sudah diedarkan, sudah tentu nama bakal pengantin lelaki dan tarikh majlis berlangsung telah diketahui, lapor Harian Metro.

“Demi Allah, saya tak tahu (Ina akan kahwin). Serius, saya memang tak tahu. Tiba-tiba nama saya pula dikaitkan. Saya amat terkejut dengan cerita ini. Tak tahu dan tak ada kena-mengena dengan saya. Ina pun sudah saya anggap macam adik.

“Demi Allah, individu itu bukan saya. Saya langsung tak tahu fasal benda ini. Tiba-tiba nama saya disebutkan. Memanglah saya baik dengan Ina, tak dinafikan. Saya baik bukan dengan Ina seorang. Tetapi rapat dengan kedua-dua ibu bapanya juga.

“Malah, keluarga saya sendiri pun baik dengan Ina. Tetapi baiknya saya dengan Ina, janganlah sampai nak kaitkan saya dengan perkahwinan bersamanya. Malah, kalau kata kad kahwin sudah diedarkan, mestilah tahu juga nama bakal pengantin lelaki dan tarikh majlis berlangsung,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Isman turut berpendapat bahawa khabar perkahwinan ini tidak berasas dan kurang manis juga untuk diperkatakan kerana Ina adalah seorang balu malah Suhaimi juga belum sampai setahun meninggal dunia.

Terdahulu, timbul desas-desus bahawa Ina didakwa bakal berkahwin baharu dengan lelaki yang juga berstatus artis nasyid apabila kad jemputan perkahwinan dikatakan sudah diedarkan di kampungnya di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.

Ina, 40, sebelum ini berkahwin dengan arwah Suhaimi atau nama sebenarnya, Mohd Suhaimi Saad, 43, pada 12 Ogos 2007 namun penyanyi nasyid itu meninggal dunia pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Hasil perkongsian hidup bersama arwah Suhaimi, pemilik nama sebenar Nordiana Mohd Naim itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.

Baca juga: Sebelum jadi penjaga gol terkenal, Khairul Fahmi rupanya pernah bermain di posisi ini