Pelakon Pablo Amirul mendedahkan kisah hitamnya apabila pernah terjebak dengan ajaran sesat Millah Abraham ketika sedang hangat bercinta dengan kekasihnya.
Pablo berkata, dia mengikuti ajaran itu selama dua tahun kerana cinta sebelum akhirnya tersedar perbuatan itu adalah salah.
Mendedahkan perkara itu di Instagram, Pablo berkata dia tidak mahu lebih ramai menjadi mangsa ajaran itu dan berharap kisahnya menjadi pengajaran kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dalam mencari Tuhan.
“Saya mengikuti dan percaya akan ajaran itu kerana cinta. Selepas tersedar baru saya tahu apa yang dilakukan itu adalah salah.
“Sebab cinta saya menjual akidah, satu perkara yang tidak patut saya lakukan. Orang di luar sana senanglah cakap kerana tidak terkena batang hidung mereka sendiri.
“Asbab Allah pilih saya untuk mengalami, menjalani dan mendedahkan perkara ini kepada orang ramai. Jadikan apa yang saya lalui sebagai sempadan dan tauladan” kata Pablo.
Biarpun dilihat seolah-olah menjadi ‘kambing hitam’ Pablo tidak kisah demi menyelamatkan lebih ramai orang daripada terperangkap dengan ajaran sesat Millah Abraham.
“Jika pendedahan saya membongkar kebenaran dan menyebabkan pelbagai pihak terpanggil untuk mengkaji permasalahan ini baguslah.
“Saya hanya lakukan untuk membantu ummah dan mempertahankan agama kita. Kalau apa yang saya lakukan beri ancaman kepada pihak di sana (ajaran sesat) saya tidak boleh lakukan apa-apa,” katanya lagi.
Pablo yang kini telah kembali ke agama Islam berkongsi kesilapannya kerana tidak merujuk terlebih dahulu golongan arif dalam bidang agama ketika mencari Tuhan.
Oleh itu, dia berharap orang ramai berhati-hati kerana ajaran sesat seperti Millah Abraham dan fahaman lain masih berleluasa di luar sana.
“Saya telah melalui kedua-duanya (ajaran sesat dan agama Islam), sekarang apa yang saya nampak kebenarannya adalah agama Islam yang diajar kepada kita. Saya kembali melakukan solat lima waktu,” kata Pablo.
Ajaran Millah Abraham atau Millah Ibrahim itu difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Baca juga: Gadis OKU bisu didakwa jual konten ‘nakal’ di Telegram, kantoi lepas dilanggan keluarga