Demi duit TikToker buat kerja gila, rela cuci muka guna air jamban untuk dapat ‘gift’

Oleh KIM SYAZIE

Satu rakaman video memaparkan dua orang pengguna TikTok yang sedang mencuci muka telah menjadi perbincangan hangat di media sosial.

Permandangan menjijikkan, mereka berdua sanggup menyapu muka dengan menggunakan air yang keluar dari mangkuk jamban.

Siapa sangka, dua individu berkenaan sanggup menjatuhkan ‘air muka’ dan maruah sendiri di depan khalayak ramai hanya untuk meraih pendapatan.

Tular di media sosial, perkara tersebut dibongkarkan oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Komandan Marco.

Mengejutkan, Marco turut memuat naik rakaman siaran langsung yang memaparkan kelakuan tidak senonoh ‘TikToker’ berkenaan.

Difahamkan, ‘kerja’ berkenaan dilakukan demi mendapatkan ‘gift’ atau hadiah daripada penonton TikTok yang kemudian boleh ditukar dengan wang.

“Jatuh maruah seorang manusia apabila diperlakukan sebegini rupa. Ini semua demi ‘gift’. Air jamban tu bukan sahaja kotor malahan tempat tinggal syaitan.

“Baru berdepan dengan manusia sudah sanggup melakukan macam-macam perkara demi mendapatkan wang. Belum lagi berdepan dengan Dajjal.

“Nak duit pun agak-agaklah. Main benda kotor macam itu. Air jamban kalau putih bersih macam mana sekalipun, ia tetap akan jadi kotor,” katanya.

Menurut Marco, tingkah kedua-dua individu berkenaan langsung tidak menggambarkan akhlak yang baik terutamanya bagi umat Muslim.

Hal ini kerana, TikToker yang sanggup membodohkan diri itu bagai tidak percaya bahawa Allah telah menentukan rezeki umatnya masing-masing.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna mengaku terkejut dengan pendedahan yang dibuat Marco tersebut.

Khuatir dengan situasi yang bakal dihadapi di masa hadapan, ramai juga yang segera menginsafkan diri dan berdoa agar dilindungi.

“Kerana duit, makan tahi pun sanggup agaknya. Jangan jatuhkan martabat diri kamu kerana duit. Nampak sangat senang jadi tali barut,” kata seorang pengguna.

“Ya Allah, ampunilah dosa ku serta saudaraku di luar sana. Jauhilah kami dari perkara mungkar, dekatkanlah kami padamu ya Allah,” doa pengguna lain.

Baca juga: Sanggup aniaya orang demi makanan percuma, rider dedah taktik licik pelanggan