Demi jayakan watak, Nas-T pilih ikat perut, hanya makan protein selama 10 bulan

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan senang mahu jadi pelakon, demi menjayakan satu watak pelbagai perkara sanggup dilakukan termasuklah berdiet atau tambah berat badan.

Tambahan nak kekal konsisten dengan berat badan untuk satu watak juga agak sukar tapi akhirnya ia berbaloi.

Samalah seperti pelakon Nas-T yang sanggup tidak makan makanan berkarbohidrat untuk menghidupkan watak dalam filem Keluang Man.

Pelakon berusia 40 tahun itu memaklumkan sudah melakukan pengorbanan hampir setahun sejak dari awal penggambaran.

“Saya buat persediaan untuk filem sudah masuk 10 bulan, sejak disahkan galas watak ini sehinggalah sekarang sebabnya ada ukuran kostum, jadi saya kena ikut ukuran dan kekalkan berat badan ini sampai selesai promosi filem.

“Sekarang sudah masuk 10 bulan saya diet, tak ambil karbohidrat dan ambil protein sahaja. Fasa ini akan berterusan sampai filem selesai ditayangkan tahun depan.

“Inilah pengorbanan saya, pada awalnya agak sukar untuk sesuaikan tetapi lama-lama sudah terbiasa tidak makan nasi.

“Jadi, sekarang tengok nasi tak rasa nak makan,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Disebabkan komitmen bersama Keluang Man, Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin akui menolak beberapa tawaran lakonan.

Ini adalah untuk memberi fokus terhadap naskhah arahan Anwari Ashraf Hashim yang mengangkat karya kartunis Allahyarham Kamn Ismail ke layar.

“Penggambaran Keluang Man padat, jadi saya tiada selit kerja lain dan terpaksa tolak tawaran yang datang.

“Namun, saya tolak secara baik kerana maklumkan ingin beri tumpuan kepada projek yang sudah lama saya nak buat.

“Bagi saya ini adalah periuk nasi dan karier saya jadi saya kerah diri saya untuk beri yang terbaik.

“Kalau memerlukan saya jaga makan, saya buat. Lagipun saya sudah biasa jadi, bukan penyeksaan pun bagi saya untuk buat semua ini,” ujarnya lagi.

Keluang Man adalah siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan filem superhero ikonik Malaysia memulakan penggambaran pada 4 Mei lalu.

Kini ia dalam fasa pasca produksi dan akan menghiasi pawagam pada tahun hadapan.

Baca juga: Budak 5 tahun bawa balik Perodua Aruz, menang cabutan bertuah Sukma Sarawak 2024