Demi langsai hutang, lelaki dari Malaysia ini sanggup jual 20,000 koleksi Hotwheels miliknya bernilai RM250K

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pengumpul tegar kereta mainan Hot Wheels yang mempunyai lebih 20,000 koleksi mainan itu, terpaksa melepaskan kesemua simpanannya demi melangsaikan hutang.

Koleksi kereta mainan itu dikumpul sejak 2015, namun Muhammad Amsyar mengambil keputusan untuk menjualnya dengan mengiklankan di Facebook bagi mencari individu berminat membeli barangan kesayangannya.

Menurutnya, hobi mengumpul kereta mainan itu bermula selepas dia menetap di Michigan, Amerika Syarikat (AS) ketika mengikuti pengajian Program Khas Ortopedik.

Di Amerika Syarikat, hobi mengumpul Hotwheels menjadi kegilaan orang ramai di negara tersebut dan secara tidak langsung memudahkan lagi Muhammad Amsyar mengumpul serta memperoleh koleksi yang diidamkannya. 

Malah, terdapat koleksi yang terpaksa beliau tempuh sejauh 1,155km pada musim sejuk untuk mendapatkannya.

Demi langsai hutang

Muhammad Amsyar berkata, sejak berkongsi hasratnya untuk menjual koleksi kesayangannya di Facebook, banyak kiriman mesej diterima daripada peminat Hot Wheels.

Muhammad Amsyar tidak menyangka perkongsiannya itu mendapat perhatian warganet hingga tular di laman sosial.

“Setakat ini, bukan hanya peminat di Malaysia, tetapi ada pengumpul dari Singapura, Indonesia dan Vietnam yang menghantar mesej di Facebook untuk bertanyakan harga.

“Tawaran paling tinggi diterima setakat ini adalah RM200,000 namun saya berharap ada individu sanggup membelinya dengan harga melebihi RM300,000.

“Ikutkan hati, saya tidak mahu menjualnya, tetapi masa semakin suntuk dan saya perlukan wang untuk melangsaikan hutang.

“Kalau boleh, saya mahu koleksi itu dibeli pengumpul luar dari AS, sebaiknya orang Malaysia dan benar-benar tahu menghargai Hot Wheels,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Baca juga: Banyak yang ‘bungkus’ awal, peniaga bazar Ramadan luah sedih untung harian tak sampai RM100 pun tahun ini