Mencipta pelbagai alasan kerana tidak mahu hadir ke sekolah, seorang kanak-kanak berusia lima tahun akhirnya membuat ‘perjanjian’ dengan ibunya.
Bukan kepalang, Nur Fatima Az Zahra memberi jaminan akan hadir ke sekolah sekiranya wanita itu membelikan kereta Mercedes G-Wagon.
Demi memastikan anaknya rajin menuntut ilmu, usahawan kosmetik itu akhirnya membelikan kereta mewah sempena hari jadi Fatima yang ke-5.
Simbolik hadiah, kereta itu diserahkan menerusi satu kejutan di mana G-Wagon diletakkan dalam kotak lutsinar lalu ditutupi dengan kain.
Rakaman kejutan hari jadi penuh meriah itu dimuat naik oleh ibu kanak-kanak berkenaan, Farhana Zahra di laman TikTok miliknya.
“Semoga asbab dari hadiah kereta impian Fatima ni, Fatima rajin ke sekolah. Semoga cita-cita anak mama nak jadi doktor, tercapai,” katanya.
Sebelum ini, Farhana pernah membuat perkongsian di akaun TikTok yang sama mengenai keengganan anaknya untuk ke sekolah.
Menurutnya, Fatima cukup pandai ber’drama’ dan pernah pura-pura sakit agar ibunya tidak menghantar gadis itu ke sekolah.
Bergelar sebagai usahawan, maka tidak hairanlah Farhana mampu memujuk anaknya bermodalkan kereta mewah.
Buat ibu bapa lain, usahlah merasa rendah diri, usaha mengikut kemampuan dan cara kita sendiri.
Baca juga: Teka teki pengeluaran KWSP terjawab, ini keputusan terbaru kerajaan