Malaysia Dateline

Demi pulihkan parti Zahid perlu letak jawatan Presiden Umno dengan segera

Demi memulihkan dan memperbaiki parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu meletakkan jawatan Presiden Umno dengan segera, demikian menurut Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Kita semua perlu berani membuat perubahan kearah kebaikan demi masa depan Parti ini.

“Usaha untuk memulih dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.

“Oleh itu, dengan rasa penuh hormat dan takzim, saya memohon supaya YB Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak telah berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai presiden pada 2018,” katanya.

Dengan tindakan berjiwa besar ini katanya akan membantu Umno mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti Umno.

“Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, di mana orang Melayu telah menolak Umno. Umno telah rebah.

“Umno dan Barisan Nasional hanya menang 9 kerusi Parlimen di Johor sementara itu, kita tidak memenangi satupun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu,” tambahnya.

Katanya, walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin Umno termasuk dirinya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 semalam.

“Ramai pemimpin Umno, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi,” katanya lagi.

Baca juga: Selepas BN kalah teruk, penyokong hujani FB Zahid dengan desakan letak jawatan

Baca juga: Tiada parti menang majoriti, kerajaan gabungan bakal muncul