Demi rakyat PH langkau jurang politik jayakan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19

Oleh Nasuha Rahman

Pengerusi Pakatan Harapan Immunisation Task Force Dr Dzulkefly Ahmad menyeru Kerajaan Pusat dengan semangat bi-partisan melibatkan wakil-wakil Pakatan Harapan dalam Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Katanya, demi kepentingan rakyat dan masa depan negara, Pakatan Harapan ingin melangkau jurang politik untuk bekerjasama dengan kerajaan.

“Kami berharap langkah ini akan menyakinkan rakyat dalam menerima immunisasi,” katanya.

Dalam satu kenyataan beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, penglibatan wakil Pakatan Harapan dalam JKJAV akan menghantar mesej kepada rakyat bahawa Pelan Imunisasi Kebangsaan melangkau politik dan mendapat sokongan seluruh negara.

Pakatan Harapan telah menubuhkan satu Jawatankuasa bernama Pakatan Harapan Immunisation Taskforce yang dipengerusikan oleh Dr Dzulkefly Ahmad (Bekas Menteri Kesihatan), dan dianggotai oleh wakil tiga-tiga parti dan semua Exco Kesihatan negeri-negeri Kerajaan Pakatan Harapan.

Anggota Pakatan Harapan Immunisation Taskforce termasuk Dr Lee Boon Chye (Bekas Timbalan Menteri Kesihatan), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kesihatan Selangor), Dr Norlela Ariffin (Exco Kesihatan Pulau Pinang), dan Veerapan (Exco Kesihatan Negeri Sembilan).

Tujuan penubuhan Taskforce Vaksin ini bagi membantu menyakinkan dan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 oleh kerajaan, sama ada kerajaan negeri Pakatan Harapan mahupun Kerajaan Pusat dengan semangat bi-partisan.

Selain itu, untuk mengembleng tenaga semua wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan membantu dalam Komunikasi Strategik tentang manfaat vaksin COVID-19, membanteras fahaman anti-vaksin dan koordinasi perlaksanaan imunisasi di kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.

Serta, melibat urus dengan pakar perubatan, golongan berkepentingan (stakeholders) dan NGO dengan kaedah “whole society approach” dalam memantau dan menjayakan perlaksanaan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19.

Katanya, Pakatan Harapan mengenali kesukaran dan kesulitan mengendalikan Program Imunisasi secara menyeluruh dalam masa yang singkat.

Jelasnhya, kejayaan atau kegagalan program imunisasi akan menentukan kesihatan rakyat, keupayaan kapasiti kesihatan dan pemulihan ekonomi negara.